PAS Adalah Sebuah Jemaah Islam Yang Lengkap

1947

Oleh : Khairul Nizam Abdullah

KUALA NERUS – PAS menekankan kepada ahlinya dan masyarakat bahawa ia bukanlah semata-mata parti politik yang masuk bertanding pilihan raya bahkan PAS adalah sebuah jemaah Islam yang lengkap.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pemuda PAS Malaysia, YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata, PAS menyempurnakan tuntutan agama termasuk dalam bidang pendidikan dan ekonomi.

“Alhamdulillah, daripada sudut aspek pendidikan kita telah tampilkan kejayaan yang begitu cemerlang. Kita menubuhkan Maahad Darul Quran di Rusila,

“Tujuan penubuhan Maahad Darul Quran (MDQ) ini adalah untuk melahirkan kader-kader para alim ulama yang boleh berfungsi menjadi pendakwah di dalam masyarakat yang mereka duduk,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Jamuan Dana Pembangunan Madrasah Darul Falah, Kampung Pengkalan Maras, 4 Ogos, disini.

Menurutnya, MDQ berkembang daripada hanya menerima lima orang pekajar dari satu daerah sehingga kini berkembang dengan pelajar mencecah hampir 1,000 orang pelajar dan melahirkan puluhan ribu ‘alumni’.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh menjelaskan, PAS juga berjaya mengembangkan bidang pendidikan di peringkat sekolah rendah melalui madrasah-madrasah DAR.

“Madrasah-madrasah yang kita tubuh ni hampir disetiap kawasan. Di Terengganu ni dia ada lapan kawasan. Kuala Nerus saja ada dua (DAR) Madrasah Darul Taqwa dan Darul Falah,

“barangkali ramai daripada masyarakat kita tak sedar ada sekolah rendah sini, yang perlu kita perbesarkan,” katanya.

 

Oleh itu, katanya, pembangunan Madrasah Darul Falah ditingkat dengan pembinaan beberapa blok bangunan baru bagi menambah jumlah kelas sesuai dengan permintaan orang ramai.

Sehubungan itu, Mudir Madrasah Darul Falah, Ustaz Ayub Yusof ketika ditemui menjelaskan, Madrasah Darul Falah di Kampung Pengkalan Maras memulakan persekolahan pada tahun 2017.

“Alhamdulillah bangunan sedia ada dapat diubah suai menjadi kelas dan pejabat untuk sekolah. Maka berjaya memulakan operasinya bermula sesi persekolahan 3 Januari 2017,

“Dengan dapat mengadakan satu kelas sahaja darjah satu seramai 23 orang pelajar. 13 lelaki dan 10 perempuan serta dibantu empat guru, dua lelaki dan dua perempuan,” ujarnya.

Justeru itu, beliau memohon agar mereka yang prihatin dan muhsinin menyokong usaha murni untuk membina bangunan baharu bagi sekolah tersebut.

“Insya Allah kita akan meneruskan sekolah ini sampai bila-bila pun selagi mana kita mampu dan akan kita besarkan bangunan itu supaya ia menjadi lebih baik dan sempurna untuk masa-masa akan datang,

“Kita turut mengalu-alukan sebarang sumbangan dari para dermawan diluar sana samada dalam bentuk bahan binaan mahupun wang ringgit dan sebarang sumbangan bolehlah disalurkan ke akaun bank atas nama Madrasah Al Falah, MayBank – 56 301 9255 872 , Bank Islam – 13 06201 0008 317 atau boleh berhubung terus dengan Ustaz Ayub – 012 662 5323 atau saudara Yusri Yunus – 0111 3299 042 ,” jelas Ustaz Ayub.