PAS Ada Kekuatan Lawan Umno

1880

Oleh : KAM

SETIU – PAS mempunyai kekuatan ahli dan organisasi partinya tersendiri bagi menghadapi kekuatan jentera Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, akan datang.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad menyangkal teori kononnya jika PAS tidak bersama Pakatan Harapan, parti itu akan kalah pilihan raya.

Menurutnya, analisa itu tidak tepat sama sekali kerana secara realiti hanya PAS dan Umno yang menguasai orang Melayu.

“Telahan yang dibuat itu suatu telahan yang tidak betul. Politik di Malaysia ini ialah siapa yang dapat menguasai orang-orang Melayu.

“Sekarang ini, apabila orang Melayu ini sudah tidak percaya kepada Umno-BN. Maka, tempatnya ialah kepada PAS. Terutama kita lihat di kalangan anak-anak muda yang berumur 20 hingga 30 tahun.

“Mereka tidak sempat dengan zaman reformasi. Maka dengan sebab itu, tempat yang menjadi galang-gantinya tolak Umno ialah kepada PAS. Analisa yang dibuat itu tidak berpijak dengan hakikat sebenar,” ujarnya.

Beliau diminta mengulas pandangan penganalisis politik kononnya PAS akan kalah jika tidak bersama Pakatan Harapan selepas Ceramah Perdana sempena Himpunan Harapan Semua-PAS Ganti Umno (Harap-PGU) 3.7, di Pengkalan Atap, Batu Rakit, Setiu pada 30 Julai lalu.

Sebaliknya, Ustaz Idris yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang mengakui Pakatan Harapan hanya lebih kepada sokongan orang bukan Melayu terhadap pembangkang.

“Jika ditanya Pakatan Harapan tempat (sokongan) Cina, saya kata ya benar. Tempat untuk orang bukan Melayu mungkin akan memberi sokongan kepada mereka.

“Tapi jika tempat Melayu boleh tengok sendiri. Pakatan Harapan tidak mendapat sambutan yang hebat sebagaimana PAS.
“Jika PAS tidak bersama Pakatan Harapan, PAS akan kalah…itu teori. PAS ada kekuatan sendiri seperti di Terengganu, Kelantan dan sebahagian besar di Kedah.

“Kita ada tempat-tempat yang disebut ‘base’ kepada Melayu dan ada kekuatan PAS. Organisasi ahli PAS yang berpuluh ribu seperti di Baling (Kedah), Marang, Terengganu yang ada ahli puluhan ribu, Kuala Nerus dekat 15,000 ahli.

“Kita ada kekuatan untuk hendak ‘challenge’dengan Umno,” tegasnya yang melahirkan rasa kagum dengan program PAS Ganti Umno (PGU) di Terengganu sejak beliau dilantik sebagai Ketua Penerangan PAS Pusat.

Menurutnya, PAS Terengganu akan kembali memerintah negeri pada PRU14 setelah melihat kepada perkembangan politik Umno-BN semakin parah.