PAN Cuba Timbulkan Persepsi Bodohkan Rakyat Terengganu

1400

Bismillah. Akhir-akhir ini PAS telah diserang dengan begitu hebat oleh musuh-musuh baru dan lama politiknya. Musuh lama yang utama PAS ialah Umno-BN yang sentiasa dan sejak dahulu secara tetap dan tunai akan memburuk-burukkan PAS tanpa segan silu serta penat dan lelah. PAS alhamdulillah diberikan kekuatan bagi menangani semua itu lebih puluhan tahun.

Tidaklah pelik dengan serangan itu kerana sedia maklum akan tahap politik kualiti terendah daripada Umno itu, sememangnya menjadi jenama bagi Umno-BN. PAS juga berhempas pulas menyanggah segala fitnah-fitnah dari kumpulan penyokong DAP samada di alam nyata mahupun maya. Dan serangan itu juga gagal mematahkan kekuatan PAS malah menjadikan PAS lebih kuat dan bersemangat lagi. Itu semua asam garam politik dalam menghadapi musuh kita.

Akan tetapi apabila sebuah parti politik yang mengaku kononnya Islam turut mencipta persepsi palsu serta negatif yang mana, mereka cuba dengan kewujudan persepsi itu, untuk membunuh karektor PAS, maka saya merasa sangat pelik dan hairan kerana mana mungkin Islam membenarkan kita membuka pintu fitnah? Tetapi inilah yang cuba dilakukan oleh beberapa orang yang mengaku Islam, profesional, yang kononnya dia lebih bagus daripada orang lain apabila mereka ditunjukkan keluar dari PAS dahulu kerana tidak lagi diberi kepercayaan oleh ahli-ahli bagi PAS menduduki kerusi pimpinan PAS.

IMG-20160324-WA0021Beberapa hari lalu, Khalid Samad salah seorang bekas calon AJK PAS Pusat yang ditolak oleh ahli PAS dalam Muktamar yang juga Ahli Parlimen Shah Alam yang menang atas tiket PAS, jelas dengan sengaja dalam satu laporan akhbar, mahu menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai yang dengan memberitahu bahawa DUN Terengganu telah tergantung menjadi 16-16 kerusi kerana MB Terengganu Dato’ Seri Ahmad Razif telah menarik balik peruntukan kepada Adun Kijal, Dato’ Seri Ahmad Said kerana usul undi tidak percaya yang beliau kemukakan baru-baru ini. Entah dari mana datangnya sifir Khalid Samad sehinggakan DUN Terengganu diisytiharkan tergantung oleh beliau hanya kerana peruntukan Adun disekat oleh MB, saya fikir biarlah dia yang menjawabnya kerana terlalu dangkal.

Tidak terkecuali menumpang semangkuk galak berkokok menabur fitnah ialah Datuk Raja Kamarul Bahrain, Pengerusi PAN Terengganu yang juga ahli parlimen Kuala Terengganu yang menang atas tiket PAS dalam PRU yang kemudiannya melarikan kerusi Kuala Terengganu itu, turut mereka cipta cerita bahawa Presiden PAS telahpun dilantik menjadi penasihat Umno Terengganu. Tanpa hujan, tanpa ribut, dia tiba-tiba muncul, menabur fitnah.

Saya mencabar beliau, sila tunjukkan bukti lantikan itu. Dan jika sekiranya dia tidak takutkan Allah, sekurang-kurangnya malulah kepada diri sendiri dengan jualan cerita murahan ini. Atau kemungkinan hanya kerana beliau kelihatan bersama-sama MB memotong kek beberapa hari lepas, maka dia terasa terhutang budi dengan MB sebab berjaya menumpang populariti MB. Mungkin sekarang dia cuba menjadi “cyber trooper” Umno.

Sememangnya umum mengetahui bahawa keahlian Dato’ Seri Ahmad Said dalam Umno akan digugurkan setelah melalui proses perbicaraan oleh Umno sendiri. Saya belum mendengar dan saya percaya Khalid juga belum menerima berita pemecatan keahlian Dato’ Seri Ahmad Said daripada Umno. Mana mungkin Khalid mendahului keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, kecuali dia ialah Presiden Umno ataupun mempunyai hubungan sulit dengan jawatankuasa disiplin Umno. Mana-mana pertubuhan, ada peraturannya, mesti dibawa pesalah pertubuhan itu ke Jawatankuasa Disiplin Parti atau Pertubuhan sebelum diputuskan bersalah bagi diadili. Dan saya juga percaya PAN juga ada jawatankuasa itu.

Umum mengetahui ketika PRK Kuala Besut tiga tahun lalu, Terengganu telah menghadapi situasi kerusi 16-16 jika PR memenangi PRK tersebut. Walau bagaimanapun, keadaan 16-16 itu sebenarnya tidak memihak kepada PR kerana Dun Terengganu memberikan Yang DiPertua Dewan kuasa mengundi, yang mana kita sedia maklum YDP Dun Terengganu Datuk Zubir Embong, adalah bekas calon Umno dalam PRU yang lalu. Keduanya, jika 16-16, Tuanku Sultan akan memutuskan melalui sokongan Adun-Adun ke atas MB.

Tetapi ini semua mesti dijalankan setelah benar-benar Dato’ Seri Ahmad Said bukan lagi ahli Umno serta tiga lagi Adun yang beliau kata bersamanya dan mempunyai perjanjian bagi menyokong PR Terengganu. Ketika itu mungkin boleh berlaku pembubaran Dun dan pilihanraya negeri atau pertukaran MB tanpa pilihanraya. Semua situasi ini sangat disedari oleh Khalid dan Datuk Raja Bahrain kerana mereka juga turut terlibat dalam kempen PAS ketika itu. Tiba-tiba kini, segalanya berubah. Peraturan Dun Terengganu diubah dan diolah sebegitu rupa dengan niat yang jahat oleh mereka bagi memberikan persepsi yang buruk dan fitnah kepada PAS kerana sepertinya tidak mahu mengambil kuasa dari Umno-BN. Cubaan lapuk murahan untuk mengitar semula fitnah Unity Government (UG).

Maka pastinya saya sangat yakin dan percaya, Umno akan tidur lena selepas ini, disebalik tuduhan dan fitnah yang PAS akan bergabung dengan Umno yang tak pernah menjadi kenyataan oleh PAN dan DAP, kerana Umno sekarang ini nyata telah mempunyai pekerja-pekerja buruh sukarela yang akan menjalankan tugasan mereka dalam memberikan persepsi buruk dan fitnah kepada PAS iaitu PAN. Dan PAN, pasti berbangga dengan jawatan dan tugasan sukarela ini.

Sudah pastinya jika mempunyai peluang bagi merampas Terengganu, PAS akan lakukan. Tetapi mestilah sepertimana penekanan Presiden PAS, iaitu ianya seharusnya hanya berlaku dalam kerangka perundangan dan bukan dengan jalan belakang. Bagi PAS, kami tetap dengan prinsip matang dalam berpolitik kerana PAS bergerak atas nama dakwah dan politik bagi menegakkan Islam yang syumul di Malaysia bagi kesejahteraan rakyat semua insyaAllah.
Wallahua’lam.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
25 Jamadilakhir 1437 bersamaan 24 Mac 2016