Pakatan Rakyat Perlu Mendominasi Reformasi Kesihatan

671

Kenyataan kedua beliau pada 10 Mac pula sedikit bercanggah apabila beliau menegaskan bahawa pihak Kementerian Kesihatan akan meneruskan sesi penerangan mengenai 1Care kepada masyarakat.

Kami rakyat Malaysia sedikit keliru. Jika sekiranya perlaksanaan 1Care ditangguhkan, kenapa perlu pihak Kementerian Kesihatan membuat penerangan? Biasanya sesi penerangan perlu dibuat apabila sesuatu perkara telah siap dan hendak dilaksanakan. Pertemuan dengan masyarakat adalah untuk mendapatkan pandangan orang ramai sahaja dan menambahbaik sesuatu program yang hendak diaplikasikan. Adalah agak ganjil bila di satu sisi Menteri Kesihatan mengumumkan tangguh, tetapi disatu sisi lagi sibuk pula memberi penerangan tentang pelaksanaan 1care.

Walaubagaimanapun, Jaringan Profesional Muslim (MPN) pada dasarnya menggesa agar satu reformasi berhikmah dilakukan ke atas sistem kesihatan yang sedia ada. Negara memerlukan pembaharuan ini kerana situasi semasa dan ketidak seimbangan masyarakat dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik. Sistem kesihatan yang ada sekarang memperlihatkan bahawa golongan miskin akan terus tersisih daripada mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang optimum. Golongan kaya terus bebas memilih kaedah yang terbaik dan tercanggih kerana kedudukan sosio-ekonomi mereka yang stabil.

Sistem yang sedia ada sekarang adalah rentetan dari sistem yang diamalkan sejak sebelum merdeka. Sistem ini tidak mengutamakan kebajikan kesihatan kepada rakyat awam. Cuba kita bayangkan si miskin akan mendapat rawatan kesihatan dari hospital/klinik kerajaan kerana pembayaran yang minima. Namun kualitinya juga minima kerana ubat yang digunakan kebanyakannya adalah ubat-ubatan generik dan pesakit pula terpaksa menunggu sekian lama. Tarikh temujanji pula biasanya berbulan-bulan dan suasana klinik juga tidak ceria. Situasi ini dibebankan lagi dengan perpindahan tenaga pakar dari sektor kerajaan ke sektor swasta. Golongan berpendapatan rendah sukar untuk mendapatkan rawatan pakar di sektor swasta kerana kedudukan sosio-ekonomi mereka yang menghalangnya. Lantas mereka pasrah dengan apa yang ada.

Tidak dinafikan kos perkhidmatan kesihatan di sektor swasta lebih tinggi berbanding dengan sektor kerajaan. Tiada mekanisma khusus bagi mengurangkan jurang yang agak dalam ini. Sesetengah dari golongan pertengahan masyarakat akan mengambil insuran kesihatan, namun kajian menunjukkan bahawa kurang dari 10 peratus daripada mereka mengambilnya.

Karenah birokrasi sistem rujukan juga menjadi halangan kepada golongan berpendapatan rendah. Hospital atau klinik kerajaan tidak akan merujuk pesakit mereka ke sektor swasta. Benar, hospital kerajaan mempunyai pakar, tapi tarikh temujanji untuk bertemu pakar biasanya adalah terlalu lama, sehinggakan pesakit yang diberi temujanji boleh mati dahulu sebelum tarikh temujanji tiba.

Jaringan Profesional Muslim menyarankan Pakatan Rakyat mengambil kira reformasi kesihatan ini secara serius setelah memenangi pilihanraya ke 13 nanti. Diantara cadangan yang Pakatan Rakyat boleh pertimbangkan dalam manisfesto mereka adalah:

1.      Mengurangkan jurang perbezaan antara sektor swasta dan kerajaan.

2.      Mewujudkan perhubungan dua hala yang sihat antara sektor swasta dan kerajaan.

3.      Memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan rawatan kesihatan secara optimum dengan kos minima samada melalui sektor swasta atau kerajaan. Satu mekanisma khas perlu diwujudkan bagi menangani masalah ini.

4.      Mengelakkan berlakunya penghijrahan tenaga mahir (Brain Drain) ke sektor swasta dengan pemberian insentif-insentif  tertentu.

5.      Mewujudkan mekanisma khusus bagi mempercepatkan tarikh temujanji pakar untuk kes-kes yang serius.

6.      Rakyat diberi hak mendapatkan kaedah perawatan yang terbaik bagi mereka.

Jaringan Profesional Muslim memberi sepenuh kepercayaan kepada Pakatan Rakyat dalam menentukan nasib masa depan kesihatan rakyat ke arah yang lebih cemerlang. Kita sudah serik dengan kegagalan yang telah ditunjukkan oleh Kerajaan Umno/BN yang memerintah lebih dari 50 tahun. Ini berpunca daripada budaya tidak sihat yang berlegar dalam Kerajaan Umno/BN, di mana mereka sudah hilang keupayaan mentadbir-urus dengan baik, tidak mampu menunjukkan contoh yang terpuji dalam pembahagian projek-projek negara, pembaziran kewangan yang melanda, rasuah yang bermaharajalela serta pelbagai kudis-kudis lain yang menghodohkan lagi wajah kerajaan UMNO/BN.

Dr Wan Shah Jihan Wan Din
Sulaiman Ahklakan
Dr Ghazali Hasbullah
Muslim Professional Network