Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU – PAS merupakan parti politik dengan organisasi pengurusan kecemasan dan bencana yang tersusun kemas.
Pengarah Khidmat Pengurusan Kecemasan Dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Zon Timur Haji Zulkifli Mat Yakim berkata, ia dapat dilihat dilapangan, bagaimana jentera operasi banjir PAS beroperasi.
“Pada waktu sekarang ini PAS sedang berada di lapangan banjir Penang membantu mangsa yang terlibat dengan banjir.
“dengan tenaga bantu PAS dari seluruh negara beserta peralatan logistik dan pelbagai barangan bantuan bernilai ratusan ribu ringgit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi, mengulas mengenai misi bantuan banjir Khidmat Malaysia Terengganu ke Pulau Pinang, Sabtu, 11 November.
Menurutnya, biarlah ketua parti lain seronok bergambar dalam air banjir walau sudah diketahui umum, mereka tak bawa apa-apa pun untuk mangsa banjir.
“Jentera operasi banjir lagilah tak ada (dan) peranan PAS dalam misi bantuan banjir tak siapa boleh nafikan meskipun gambar Presidennya tidak kelihatan mengharungi air banjir di Pulau Pinang.
“kerana bukan semua perkara perlu Dato’ Seri Presiden kena buat sebab PAS ada organisasi yang tersusun rapi,” ujar beliau.
Tambahnya, seramai 50 orang anggota delegasi misi bantuan banjir dari negeri Pantai Timur itu ke Pulau Mutiara pada kali ini, dengan 14 buah kenderaan pelbagai jenis memuatkan barangan makanan dan keperluan untuk mangsa banjir.
Selain itu, kata beliau, lima unit penyembur air (water jet) dibawa bersama untuk kegunaan membersihkan rumah bagi operasi pasca banjir.
Katanya, Ssemua barangan yang dibawa diserahkan kepada Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Mohd Fauzi Yusof di Markas Tarbiyah PAS Pongsu Seribu, Kepala Batas.
Beliau Misi banjir PAS Terengganu itu diketuai oleh Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Haji Muhyidin Rashid.
Turut serta dalam rombongan Ketua Unit Komunikasi Khidmat Malaysia Terengganu, Zawawi Oov, Pengarah Khidmat Malaysia Hulu Terengganu, Mat Safari Abu dan Pengarah Ķhidmat Malaysia Dungun, YB Wan Hapandi Wan Nik serta Pengarah Jabatan Amal Terengganu, Sauji Abd Rasid.












