Operasi Benteras Jenayah Dan Anti Rempit Raya 2016 Capai Kejayaan

2034

Persatuan Kepolisan Komuniti Durian Burung (PKK DB) dengan kerjasama Polis Di Raja Malaysia (PDRM)Terengganu ingin mengumumkan setelah 4 hari Operasi Banteras Jenayah dan Anti Rempit sempena musim perayaan Aidil Fitri 2016, kejayaan besar telah tercapai bagi kawasan operasi yang telah disasarkan.

Setelah kejayaan sepanjang tempoh 11 bulan mencapai sifar rempit bagi Jalan Durian Burung yang pada satu ketika dahulu amat terkenal kerana masalah rempit berskala luar biasa, kejayaan operasi sepanjang musim Aidil Fitri 2016 adalah sangat memberansangkan. Ini kerana pada setiap tahun amat sukar mengawal gejala rempit di malam raya.

Selain daripada itu, PKK DB juga mencapai sasaran membanteras jenayah di malam raya dengan tiadanya kes kes jenayah curi, curi motor, pecah rumah dan dadah yang serius dilaporkan.

PKK Durian Burung sebelum ini pernah memperolehi Surat Kepujian dari Ketua Polis Terengganu di atas kejayaan membendung masalah rempit di Jalan Durian Burung yang turut membantu mengatasi gejala itu di seluruh daerah Kuala Terengganu. Di Sambutan Hari Polis 2016 yang lalu, sekali lagi PKK DB menerima Surat Penghargaaan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu.

IMG_20160711_100855PKK DB adalah inisiatif Masjid Lama Durian Burung bagi melibatkan komuniti dalam menjalinkan kerjasama dengan polis bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman kampung.

Berteraskan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ dan usaha menterjemahkan konsep ‘Islam Rahmat Untuk Semua’, PKK DB berjaya memasyarakatkan peranan Masjid Lama Durian Burung sebagai pusat perpaduan komuniti dan kegiatan Amar Makruf Nahi Mungkar.

Dalam operasi malam raya, PKK DB telah melaksanakan rondaan bersama PDRM yang melibatkan 4 kumpulan rondaan dan satu kumpulan yang berpusat di Masjid Lama Durian Burung sebagai pusat operasi. Rondaan melibatkan jalan Durian Burung, Pulau Musang, Paloh, Padang Midin, Pengadang Baru, Wakaf Beruas dan Kubang Parit.

Di Padang Midin, melalui insiatif Surau Al Hikmah, komuniti tempatan berjaya dibentuk dan bekerjasama rapat dengan PKK DB dan PDRM menjayakan operasi yang serupa.

IMG_20160711_100937Operasi di selaraskan oleh Ibu Pejabat Kontinjen Polis Terengganu diketuai penyelaras ASP Fadli, Inspektor Zainon dan Ketua Balai Chabang Tiga, Sarjan Mejar Aziz melibatkan pelbagai kenderaan PDRM. Pengarah Operasi PKK DB, En Shamsuhaimi Saigai bertanggungjawab urusan mengatur rondaan anggota PKK DB dan NGO.

PKK DB ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyertai dan memberikan sumbangan sehingga matlamat menjadikan musim raya lebih aman, keselesaan di jalanraya dan ketenteraman penduduk tidak terganggu oleh rempit dan jenayah.

Semoga lebih ramai yang tampil membantu dan lebih banyak PKK dapat ditubuhkan di tempat lain sehingga terhasil rangkaian PKK yang cekap dan berkesan.

HJ AHMAD AMZAD HASHIM
Pengerusi
Persatuan Kepolisan Komuniti
Durian Burung (PKK DB)
11hb. Julai 2016