OKU Bukan Alasan Tidak Sokong RUU Akta355

5348

KUALA LUMPUR- Himpunan bersejarah umat Islam berhimpun bagi menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355, pada 18 Februari lalu di Padang Merbok wajar disokong dan didukungi oleh semua orang.

Tinjauan Harakah, di lokasi seawal jam 11.30 pagi orang ramai mula memasuki Padang Merbok berkenaan secara berperingkat dan santai berkeluarga.

Sebaik sahaja masuk waktu zohor, muazim melaungkan azan dengar kuat bergema di tengah padang tersebut.
Ribuan umat Islam bersolat secara berjemaah waktu zohor di tengah padang di bawah terik panas mentari di tengah kepala.

Tumpuan lensa Harakah kali ini tertumpu kepada insan istimewa dari kalangan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang turut hadir bersolidariti bagi menyokong RUU Akta 355 itu.

Seorang warga emas OKU, Rofiei Wari, 55, yang datang dari jauh Ipoh, Perak tidak mahu melepaskan peluang bersejarah itu.

Katanya, kehadiran beliau bagi memberi semangat kepada orang lain agar dapat sama-sama menyokong RUU Akta 355 tersebut.

“Saya datang ini untuk beri semangat kepada orang lain yang sihat dan sempurna dan tanda sokongan kepada undang-undang Islam.

“Jika orang OKU seperti saya boleh hadir, tidak ada alasan kepada orang yang sihat sempurna untuk tidak hadir secara sengaja,” ujarnya kepada Harakah.

Beliau turut mengingatkan orang lain khususnya beragama Islam agar dapat memberi sokongan demi menaik tarafkan Mahkamah Syariah di negara ini.

Seorang Pemuda OKU, Ustaz Mohd Rizal Razali yang datang dari Kajang, Selangor turut ditemani isterinya Narawani Che Hassan.

Katanya, kehadiran beliau pada Himpunan RUU Akta 355 merupakan satu tanggungjawab serta kewajipan sebagai umat Islam.

Menurutnya, jika umat Islam tidak menyokong RUU355 siapa lagi yang hendak diharapkan mendaulatkan undang-undang itu.

“Kita dijadikan oleh Allah SWT dan sampai masa kita juga akan dikembalikan kepadaNya. Jadi segala perintah dan Undang-undang Allah (Islam) itu kita kena sokonglah.

“Saya nasihatkan kepada orang Islam lain yang tidak dapat hadir atau belum terbuka hidayah menyokong RUU355 supaya kembali menyokong, Insya’Allah,” ujarnya.

Katanya, sebagai seorang Islam yang waras masalah OKU bukan alasan untuk menolak dan tidak menerima hukum Allah SWT.