NGO Sokong RUU 355, Bantu Sebar Maklumat

1751
Puan Hajjah Norehan Sulong dan rakan yang hadir menyokong

Oleh : MNA

KUALA TERENGGANU – Sebahagian besar Umat Islam di Malaysia, masih tidak mendapat maklumat yang cukup berkenaan isu Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) 355 yang telah dilakukan oleh Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang pada sesi sidang parlimen yang lalu.

Rosdi Murad dari Hospital Sultanah Nur Zahirah
Rosdi Murad dari Hospital Sultanah Nur Zahirah

Ramai yang masih keliru RUU itu adalah hukum hudud ataupun tidak mengetahui langsung akan isi kandungan RUU itu, sedangkan perkara yang sebenarnya ialah untuk memperkasakan lagi peranan mahkamah syariah.

Wakil-wakil NGO yang ditemui selepas program Hari Terbuka NGO Islam anjuran Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) di sebuah resort di Kuala Ibai semalam, rata-rata berpuashati dengan penerangan dan maklumat yang mereka perolehi dari program itu.

Mereka bersetuju bahawa, isu ini sepatutnya disebar luaskan bagi menguatkan desakan rakyat kepada ahli-ahli parlimen muslim agar menyokong usul yang bakal dibawa Oktober nanti.

Seorang wakil NGO Mohammad Rosdi Murad dari Hospital Sultanah Nur Zahirah berkata beliau amat berpuashati dengan penerangan yang diberikan dan merancang membantu penerangan ini diperluaskan lagi supaya rakyat benar-benar faham.

Abdul Ghaffar Mamat berkata cabaran besar kepada perlaksanaan ini ialah maklumat secara menyeluruh
Abdul Ghaffar Mamat berkata cabaran besar kepada perlaksanaan ini ialah maklumat secara menyeluruh

Manakala Setiausaha Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Abdul Ghaffar Mamat berkata cabaran besar kepada perlaksanaan ini ialah maklumat secara menyeluruh kepada semua orang Islam, tidak sampai.

Oleh itu tambah beliau lagi, Perkim dengan kekuatan yang ada akan mengambil inisiatif membantu kerajaan bagi menyedarkan ahli-ahlinya dan juga kepada rakyat agar kefahaman terhadap isu ini diperkukuhkan.

Sebuah lagi NGO, Pergerakan Puteri Islam Negeri Terengganu (PPIMNT) juga berjanji untuk membantu Yadim bagi memberikan kefahaman isu berkaitan RUU 355 ini secara menyeluruh kepada ahli-ahlinya.

Pengerusinya, Puan Hajjah Norehan Sulong mengakui bahawa inilah kali pertama kali bagi PPIMNT mendengar penerangan yang jelas dan terperinci berkaitan isu RUU 355 ini.

Beliau bersetuju bahawa RUU 355 ini semestinya diperjuangkan oleh semua pihak bagi menjayakannya kerana bagi beliau, pindaan RUU 355 ini sepatutnya sudah lama dilaksanakan.

Puan Hajjah Norehan Sulong dan rakan yang hadir menyokong
Puan Hajjah Norehan Sulong dan rakan yang hadir menyokong

“Sebenarnya pendedahan ini baru pertama kali kita (PPIMNT) dengar, terutamanya berkait dengan pindaan akta RUU 355, baru kita tahu secara terperinci.

Jadi kesimpulannya memang kita kena perjuangkanlah sampai berjaya, walaupun kita nampak ianya agak lambat, tapi insyaallah pihak-pihak tertentu lebih arif guna saluran yang mana untuk mempercepatkan pindaan itu,” ujar beliau.

Bagi membantu merealisasikan pindaan ini berjaya, Hajjah Norehan akan membuat perancangan awal untuk menghebahkan dan memberi pendedahan kepada lebih 10 ribu orang ahlinya, tentang betapa pentingnya pindaan akta ini untuk diluluskan.