Muslimat Perlu Berani Kuasai Media

712

Oleh : NHA

KUALA TERENGGANU – Satu pepatah pernah disebut, “Sebuah kerajaan tidak mampu meruntuhkan kuasa media, namun kuasa media mampu meruntuhkan sebuah kerajaan”. Begitu besar impak media memainkan peranan mencorak sesuatu suasana atau isu.

Pengamal media samada muslimin mahupun muslimat memainkan peranan penting bersama-sama untuk menyebarkan berita. Pendek kata, pihak yang menguasai media mampu menguasai corak pemikiran masyarakat. Selain media arus perdana, kuasa media sosial amat cepat dan luas pengaruhnya juga.

20150630_184647 (2)“Muslimat haruslah ke depan dan menguasai media serta isu bagi menangani setiap permasalahan masyarakat dan negara. Muslimat yang tidak menguasai media akan ketinggalan banyak perkara”, ucap Ketua Muslimat PAS Negeri Terengganu, Puan Safinah Jusoh semasa menyampaikan ucapan sempena Iftar Media di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Iftar Media anjuran bersama Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI), Penerangan BPPNT dan Lajnah Penerangan dan Hubungan Media (LPDHM) DMPNT itu julung kali diadakan bersama serta dihadiri hampir 70 orang Aktivis Media bersama ahli keluarga.

20150630_184325 (2)Di dalam ucapannya juga, Puan Safinah memberi pengharapan yang tinggi kepada muslimat agar dapat dilahirkan seramai mungkin tenaga media dari kalangan muslimat dan orang muda.

“Bagi menguasai media, kita berharap agar tenaga media muslimat adalah terlatih dan lebih berani ke hadapan. Selain itu, perlunya setiap berita yang diketengahkan itu baru dan segar. Bukannya berita yang sudah lama atau sudah dikira ‘basi’,”,ujar beliau lagi.

Di akhir ucapan, beliau mengucapkan jutaan tahniah dan penghargaan di atas usaha pihak media muslimin dan muslimat yang bertungkus-lumus menyebarkan berita yang terbaik untuk membantu perjuangan ini. Kerjasama yang terjalin di antara cabang-cabang media ini diharapkan agar lebih diperkasakan supaya memberi impak yang lebih hebat di masa akan datang.