Muslimat PAS Negeri Terengganu Mengutuk Sekeras-Kerasnya Kenyataan Biadap Setiausaha Ulama’ Muda Umno

1315

1. DMPNT menyelar dan mengecam sekeras-kerasnya tuduhan songsang Mohd Radzi Bin Othman, yang merupakan Setiausaha Ulama Muda UMNO (ILMU) yang mengeluarkan kenyataan biadapnya yang mengatakan muslimah tudung labuh yang keluar menyertai Himpunan Membantah GST pada 1 Mei lepas sebagai Pelacur Kelas Atasan. Beliau bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan tersebut di laman sosial Facebook pada 2 Mei yang lepas.

2. Kenyataan tersebut dilihat sebagai satu fitnah kepada kehormatan dan kesucian peribadi muslimah. Bagaimana muslimah yang berpakaian sopan menutup aurat serta menjaga adab pergaulannya dituduh sebegitu rupa. Tidak berasas sama sekali mereka disamakan dengan pelacur yang menggadaikan agama dan maruah kewanitaannya.

3. Kenyataan biadap itu juga menggambarkan budaya golongan ulama’ usu’ yang kerap menyalahgunakan amanah ilmu mereka dengan kenyataan menyalahi syariat demi kepentingan politik mereka.

4. Sebagai seorang Muslim tidak sayugia untuk kita menuduh dan melabel sesama saudara kita sendiri dengan panggilan/gambaran yang buruk apatah lagi kata-kata fitnah yang menyama tarafkan muslimah yang bertudung labuh sebagai Pelacur Kelas Atasan kerana ianya sangat dilarang oleh Allah sepertimana yang terdapat di dalam Surah An-Nur ayat 23 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi yang beriman, akan dilaknat (oleh Allah) di dunia dan di Akhirat, dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang besar ”. Diingatkan, jangan sewenang-wenangnya membuat tuduhan mengikut nafsu.

5. Oleh itu, DMPNT menuntut Mohd Radzi bin Othman, Setiausaha Ulama’ Muda UMNO (ILMU) menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh muslimah.

Puan Safinah Jusoh,
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu
7 Mei 2014.