Muslimat, Khairunnisa’ Seru Orang Ramai Bantu Mangsa Kebakaran

1085

Oleh : Azizah Mahmood

KUALA TERENGGANU – Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT) dan Pertubuhan Khairunnisa’ (Isteri wakil rakyat dan bekas wakil rakyat PAS Terengganu) prihatin dengan nasib yang menimpa dua keluarga keluarga, di Kampung Sungai rengas, di sini.

Timbalan Ketua DMPNT Puan Zaroni Osman berkata pihaknya akan berusaha untuk membantu keluarga Ahmad Salleh dan Baharuddin Mohamed yang terlibat dengan kebakaran pada 13 Jun lalu.

“Kita amat berharap sumbangan yang sedikit ini akan mengembirakan mereka dan kita akan cuba membantu menyediakan keperluan lainnya seperti peralatan dapur melalui sumbangan orang ramai,” ujar Puan Zaroni ketika menziarahi keluarga tersebut pada Isnin 15 Jun.

IMG-20150615-WA0085Bersama beliau, turut menyampaikan sumbangan adalah Pengerusi Khairunnisa’ Tuan Roslina Tuan Sulaiman serta Ahli Jawatankuasa Muslimat dan Khairunnisa’.

Tuan Roslina berkata, pihak kebajikan negeri akan membantu melancarkan kutipan derma kepada kedua-dua keluarga yang menjadi mangsa bencana itu.

“mudah-mudahan kutipan derma ini akan membantu mereka membina kediaman mereka semula,”ujarnya.

Tragedi berlaku pada tengahari Sabtu lalu menyebabkan dua buah rumah rentung dan pemiliknya hanya tinggal sehelai sepinggang.

Walaupun berdepan ujian getir itu, isteri Baharuddin Puan Rogayah Salleh, tetap bersyukur kerana tidak ada anggota keluarganya yang terkoban dalam kejadian tersebut.

“kami bersyukur kerana tidak ada kemalangan jiwa dan kami anak beranak sebelas orang semuanya selamat, walaupun tinggal sehelai sepinggang,”ujar beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Kak Yah dengan wajah yang suram.

IMG-20150615-WA0083Di sisinya adalah adik bongsu beliau, Puan Zainun Mohd isteri kepada Ahmad Salleh yang juga mangsa kebakaran yang sama, turut kehilangan tempat tinggal.

Kejadian tersebut amat menyedihkan, apatah lagi ia berlaku pada saat hampir kepada bulan Ramadhan.

Orang ramai yang prihatin digesa memberi sumbangan kepada kedua adik beradik tersebut bagi meringankan beban yang mereka tanggung.

PAS Kawasan Kuala Terengganu melalui Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan telah melancarkan tabung derma untuk membantu dua orang warga bandaraya Kuala Terengganu itu, yang telah ditimpa musibah.

Sumbangan boleh di serah secara tunai kepada wakil Lajnah Kebajikan PAS Kuala Terengganu atau para penyumbang boleh memberikan ‘saham akhirat’ mereka melalui akaun Bank Islam atas nama BADAN KEBAJIKAN PAS KAWASAN KUALA TERENGGANU No akaun: 13017010044705.