Oleh : Ida Hidayah
KUALA TERENGGANU – Lajnah Penerangan dan Hubungan Media Dewan Muslimat PAS Negeri Terengganu (DMPNT) sekali lagi berjaya menganjurkan program penting bagi mencungkil bakat terpendam para muslimat di medan dakwah yang sebenar.
Pertandingan Pengerusi Majlis dan Penceramah Efektif yang telah diadakan pada Sabtu lepas, 8 November di Kuala Ibai tersebut telah berjaya menarik 16 orang penyertaan dari seluruh Terengganu.
Menurut Ketua Lujnah Penerangan Muslimat, Puan Maznah Muftahuddin, antara objektif program julung kali LPDHM ini adalah bagi melahirkan penceramah yang berwibawa, terutamanya menggunakan dalil-dalil Al-Quran dan hadis di dalam mengupas sesuatu isu.
“InsyaAllah, tenaga yang kita ada ini akan kita gilap agar menjadi contoh dan perangsang kepada muslimat lain untuk lebih ke depan. Yang penting, kita mahu muslimat ini sentiasa peka dengan isu semasa, serta lebih berkeyakinan. Saya bersyukur di atas kejayaan program pada kali ini,”ujarnya.
Sehubungan itu, Ketua Dewan Muslimat Puan Safinah Jusoh menekankan, betapa pentingnya dianjurkan program seperti ini.
“Tahniah saya ucapkan kepada LPDHM atas penganjuran ini. Saya amat mengharapkan agar program ini dapat diadakan lebih kerap lagi. Kita mahu muslimat, terutamanya orang muda melibatkan diri di dalam bidang penerangan ini.
“Memang impian muslimat untuk lahirkan lebih ramai lagi duta kita yang berketerampilan dan berinformasi,”katanya, ketika berucap merasmikan Pertandingan tersebut.
Tinjauan mendapati, program tersebut mendapat sambutan ‘luar jangka’, seolah-olah ‘program realiti’ yang diterbitkan oleh rangkaian televisyen.
Lebih 100 orang hadir sebagai penonton dan penyokong dari kawasan-kawasan yang diwakili oleh para peserta pertandingan.
Tahniah diucapkan kepada pemenang kategori Pengerusi Majlis iaitu Wan Nabilah Solehah Wan Abd Razak dari Kawasan Parlimen Marang, serta pemenang kategori Penceramah iaitu Siti Sofiyya Nordin dari Parlimen Setiu.