Muktamar PAS Ke 63; Yang Pergi Biarkan Pergi, Bahtera Ini Terus Belayar

8255

Oleh: Dr Azman Ibrahim

Setelah menguasai sebahagian besar senarai kepimpinan PAS Pusat selepas Muktamar 2013 termasuk kepimpinan tertinggi Dewan Pemuda PAS Pusat, kelompok yang menggelar diri mereka progresif mengadakan perancangan rapi untuk memberikan pukulan terakhir dalam pemilihan Muktamar 2015.

Kita ada maklumat di mana mereka bertemu untuk mesyuarat sulit, bila mereka bertemu dan siapa yang hadir. Jangan ingat Bandung tempat pertemuan sulit itu jauh sangat dari Malaysia.

Malangnya mereka ketiadaan figure untuk dikedepankan bagi menyaingi Dato’ Seri Tuan Guru Presiden. Agak lucu bila PAS Kota Bharu era kepimpinan Dato’ Wan Rahim yang pertama sekali bermesyuarat agong telah mencalonkan Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Presiden. Sedikit komentar Dato’ Tuan dipetik… “Nampak bersungguh nak lawan, ingatkan dah ada calon. Rupanya calonkan ana!”

Saya tak tahu samada Ahmad Awang diperalatkan atau dia sendiri yang memang mimpi nak jadi Presiden. Juru kempen mereka nampak yakin. Gema di alam maya bagaikan Tuan Guru Presiden akan kalah. Begitulah kuatnya propaganda di alam yang tak berpijak di bumi nyata.

Juru kempen mereka menghantar mesej ke merata-rata termasuklah kepada saya supaya undi Ahmad Awang. Saya jawab, “Ok je nak kempen. Kalau kalah nanti jangan tinggal parti!” Dia jawab, “Dr pun kalau Ahmad Awang menang, kena terima dan jangan keluar parti.” Saya jawab, “Ok! Kalau Ahmad Awang menang, dia adalah Presiden saya!”

Kita aktivis parti di lapangan. Info di lapangan menunjukkan hanya dengan keajaiban Ahmad Awang mampu menang. Anehnya mereka sangat yakin bahawa tsunami akan melanda kepimpinan PAS selepas Muktamar 2015. Abang besar DAP memberikan sokongan moral dan material.

Di Kuala Selangor, selepas berakhir Muktamar Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat dengan ‘calon progresif’ disapu licin keluar, saya terjumpa dengan Dato Seri Nizar di sebuah kedai makan. Muktamar PAS Pusat akan bermula keesokannya. Sekadar basi-basi saya tanya Nizar. “Macam mana pandangan Dato’ Seri Muktamar esok.” Nizar jawab, “Semuanya telah berakhir.

Jawapan “semuanya telah berakhir” adalah nada luahan rasa kecewa dengan keputusan pemilihan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat yang memberikan gambaran nyata bahawa pemilihan Muktamar PAS Pusat juga bakal menyaksikan bagaimana perancangan rapi mereka selama bertahun-tahun akhirnya bakal musnah keseluruhannya dalam masa 3 hari sahaja.

Sebetulnya keputusan Muktamar Dewan Pemuda memang sudah dijangka. Suhaizan dan pasukannya memang diramalkan tak mampu pergi jauh dalam kepimpinan Dewan Pemuda. Tetapi kemampuan Dewan Muslimat juga sapu bersih agak mengejutkan kerana kita menjangkakan persaingan sengit akan berlaku.

Ada alasan untuk Nizar dan kawan-kawanya menjamu selera malam tersebut dengan wajah sugul. Lepas makan bayar meja sendiri saja. Ingatkan kita boleh rasa makan pitih belanja bekas MB Perak.

Esok awal-awal pagi lagi saya bersama Naib Yang Dipertua PAS Kemaman, Zulkifli Bin Mat Yakim ke Stadium Tertutup Kuala Selangor untuk menghadiri acara perasmian Muktamar PAS ke 61 bagi tahun 2015. Ternampak Ahmad Awang mari dan duduk di kerusi tetamu. Sebagaimana Nizar semalam, riak wajah Ahmad Awang juga tak ceria. Seorang dua yang kebetulan berdekatan saja hulur tangan untuk bersalam dengan calon Presiden PAS ini. Saya kebetulan duduk agak jauh. Mohon maaf, saya tak pergi salam.

Usai ucapan dasar Presiden yang disambung dengan pembentangan peringatan Muktamar Tahunan yang lepas dan disambung dengan pembentangan Laporan Tahunan PAS Pusat, kebetulan ada satu soalan perwakilan berkaitan Lujnah Undang-Undang berhubung isu Rang Undang-Undang Persendirian Ahli Parlimen Marang . Maka berapi-api Hanipa Maidin mempertahankan kerjanya sambil menyalahkan Tuan Guru Presiden kerana kononnya tak merujuk kepadanya selaku Pengerusi Lujnah Undang-Undang. Sambil angkat diri sendiri, dia kritik orang lain. Katanya perwakilan perlu dengar penjelasan agar boleh membuat penilaian yang adil ketika mengundi nanti! Dia ambil peluang untuk bersyarah. Saya boring!

Sambil berbisik dengan Zulkifli Bin Mat Yakim, “lebih baik dia tak jawab. Bila dia jawab, kalau sepatutnya nak dapat 10 undi, jadi tinggal 5 undi saja.” Mudah sebut jawapan Peguam PAS ini mendedahkan pekung sendiri sahaja.
Waktu petangnya ketika perwakilan beratur panjang untuk proses mengundi, mood perwakilan sangat ketara ceria dan bersemangat. Matlamat mereka adalah untuk memenangkan pasukan yang bersama dengan Tuan Guru Presiden. Saya tak begitu berminat dengan istilah team pro ulama dan team pro progresif yang digunakan. Walaupun begitu kerana istilah tersebut digunakan secara meluas, maka saya pinjam guna sekali.

Dari 54 orang calon AJK PAS Pusat yang bertanding untuk memilih 18 orang pemenang, 18 daripadanya berada dalam senarai pro ulama dan 18 lagi berada dalam senarai progresif. Bakinya termasuk nama penulis tak masuk dalam mana-mana senarai. Sebenarnya puak progresif ini dah lama guna sistem undi berdasarkan senarai cai, bukan hanya dalam Muktamar 2015 sahaja. Tapi jadi timbul isu pro ulama guna cai bila mereka kalah teruk! Kalau menang maka tak timbul rasanya. Padahal mereka sendiri dah lama jadi broker cai.

Selepas keputusan diumumkan, Timbalan Presiden yang baru, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man memberikan komentar yang menyentuh hati. “Saya gerun dengan jumlah undi yang diperolehi…” Merujuk kepada majoriti besar yang mengambarkan harapan besar perwakilan yang diperolehi Dato’ Tuan Ibrahim yang mengalahkan Mohamad Sabu apabila beliau mendapat 881 undi sementara Presiden PAN tersebut hanya mendapat 279 undi sahaja. Ahmad Awang hanya mampu mendapat 233 undi berbanding Tuan Guru Presiden yang memperolehi 928 undi.

Calon-calon Naib Presiden dan AJK PAS Pusat dari kalangan progresif memperolehi undi antara 300 hingga 400 lebih. Khalid Samad dan Hanipa Maidin hanya mampu mendapat 332 undi untuk berada ditangga ke 27 dan 28 dari senarai calon AJK PAS Pusat. Nizar pula hanya mendapat 302 undi untuk berada ditangga ke 32. Bekas boss saya di Lujnah Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkifli Mohamad Omar mendapat 168 undi untuk berada diranking ke 40. Ahli Parlimen Parit Buntar yang lari bawa kerusi ditangga ke 22 dengan 379 undi. MP Kuala Kerai yang juga curi kerusi mendapat 368 undi.

Gambaran yang mudah dibaca bahawa dari lebih 1200 orang perwakilan Muktamar PAS 2015, sekitar itu sahajalah bilangan jumlah perwakilan berfikiran pro progresif. Hanya Mazlan Aliman seorang saja dari kalangan calon mereka yang menang. Saya melihat perwakilan mengundinya dengan menilai kerja kuat Mazlan memperjuangkan isu Felda. Sayangnya dia memilih untuk membuat kenyataan dalam fb tak lama kemudian bahawa dia akan meletakkan jawatan AJK PAS Pusat yang dimenanginya. Setiausaha Agong PAS, Dato’ Hj Mustafa Ali ketika membuat ucapan penggulungan meminta Mazlan untuk berfikir dengan lebih mendalam dan lebih banyak bersabar dalam perjuangan. Mazlan orang yang kuat bekerja tapi belum cukup sabar kalau ambil keputusan nak letak jawatan, kata Dato’ Pa.

Antara yang menarik tumpuan ialah usul dari Dewan Ulama PAS Pusat supaya Majlis Syura Ulama mengkaji semula tahaluf siyasi dengan DAP. Pengerusi Jawatankuasa Usul, Dato’ Mahfuz Omar memutuskan usul ini diterima tanpa bahas walaupun perwakilan menuntut untuk dibahas. Ada kebimbangan dikalangan perwakilan bila usul ini diterima tanpa bahas, akhirnya hanya Majlis Syura Ulama sahaja yang akan pikul beban apa jua keputusan berkaitan tahaluf siyasi dengan DAP berbanding dengan kalau ia dibahas dan diterima dalam muktamar, maka beban akan dipikul bersama oleh seluruh perwakilan muktamar. Tapi keputusan Jawatankuasa Usul muktamad. Usul diterima tanpa bahas. Bermakna Majlis Syura Ulama yang akan bermesyuarat untuk mengkaji balik tahaluf siyasi dengan DAP dan Muktamar PAS 2015 tidak membuat apa-apa keputusan lagi bagi memutuskan hubungan dengan DAP.

Diakhir Muktamar, Mohamad Sabu memberikan ucapan penangguhan dengan penuh emosi. Kepedihan dan kekecewaan jiwanya diluahkan kepada kepada perwakilan. Akhirnya, kerana PAS dah ambil keputusan memutuskan tahaluf dengan DAP, lalu dia istiharkan atas pentas muktamar bahawa dia meletakkan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang! Mengambarkan Mohamad Sabu sendiri tak faham maksud usul dari Dewan Ulama PAS Pusat tersebut.

Salahuddin Ayub bercakap dalam ucapan penangguhan dengan nada yang lebih lunak. Katanya, mungkin cara beliau berpolitik dah tak sesuai dengan zaman menyebabkan beliau tak dipilih. Beliau ibarat telefon Nokia. Suatu ketika dulu jadi pilihan, sekarang sudah dilupakan. Maka beliau mengakui bahawa perubahan cara berpolitik perlu dibuat. Saya menilai, berbanding dengan orang lain yang kalah dan memberikan ucapan dengan penuh emosi, Salahuddin antara yang nampak rasional. Tapi sayangnya dia juga lari dari rumah. Untuk rekod, Husam Musa tak hadir Muktamar 2015 kerana katanya ada masalah kesihatan. Beliau mendapat undi yang paling rendah diantara 6 orang calon-calon Naib Presiden.

Akhirnya pergilah Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Mujahid Yusof Rawa, Dr Zulkifli Ahmad, Dr Hatta Ramli, Dr Mariah Mahmud, Khalid Samad, Hanipa Maidin, Zulkifli Mohamad Omar, Nizar Jamaluddin, Husam Musa dan mereka semua yang memilih untuk pergi. Bahtera ini terus belayar.

Muktamar PAS Ke 63 tahun 2017, segalanya telah berubah. Pertandingan jawatan dalam PAS Pusat hanyalah penawaran diri dikalangan adik-beradik untuk sama-sama nak bantu kerja ayah. Kami calon-calon yang bertanding adalah adik-beradik yang saling mengasihi antara satu sama lain. Masing-masing ada kelebihan untuk buat kerja. Kekurangan itu memang lumrah kerana kita manusia.

Kesetian kami bulat kepada Ayahanda selaku ketua keluarga. Sejarah perilaku anak-anak yang pergi berpakat dengan orang lain untuk nak khianat kepada ayah sendiri dah berlalu tahun 2015. Semoga ianya menjadi sejarah yang tak berulang lagi.

Menang adalah amanah untuk kita pikul tanggungjawab. Tak menang terlalu banyak lagi tanggungjawab lain yang perlu dilaksanakan. Jawatan dalam sebuah gerakan Islam adalah taklif (tanggungjawab) dan bukannya tasyrif (kemulian). Bila Allah nilai kita tak mampu pikul satu tugas, Allah akan bagi kita tugas yang lain.

Saya cukup yakin tak ada lagi anak-anak yang lari dari rumah lepas Muktamar Alor Setar. Cukuplah iktibar yang diambil dari akibat yang telah menimpa mereka yang pilih untuk meninggalkan keluarga besar perjuangan Islam ini.
Kepada Allah kita berserah segalanya.