Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.
Tanah jelapang padi bersimbah dengan cahaya keperakan mentari pagi yang indah menyambut kehadiran perwakilan dan pemerhati ke Muktamar DPPM kali ke 58. Hujan lebat semalaman sebelum muktamar telah membuah udara segar, sebagaimana segarnya ukhuwwah dan persahabatan dalam jamaah Islam ini. Dengan warna ungu sebagai tema muktamar kali ini, pimpinan dan para muktamirin kelihatan segak bergaya. Menguntum senyuman para petugas protokol menyambut hadirin yang memenuhi khemah besar muktamar di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut.
Muktamar Dewan Pemuda semenjak keberadaannya di medan siasah dan dakwah negara ini sentiasa membuncah energi, merubah lanskap politik dalaman PAS dan menjadi penanda aras akan keberhasilan PAS dimedan operasional. Dewan Pemuda bermula dengan namanya Dewan Pemuda Islam ditubuhkan pada tahun 1953, dipimpin oleh Ustaz Ahmad Badawi. Ramai kalangan aktivisnya pada dekad 50an ialah para penggerak sekolah agama rakyat seperti Ustaz Hasan Adli, Ustaz Yunus Yatimi dan lain-lain nama besar dalam perjuangan.
Dewan Pemuda antara yang mengusahakan supaya PAS dipimpin oleh seorang sosok besar perjuangan dan maestro politik iaitu Dr Burhanudin al Helmi. Ustaz Hasan Adli pada tahun 1956,mengusahakan agar Dr Burhanudin menjadi tonggak utama PAS . Tokoh besar yang bergraduat daripada Universiti Aligagh India ini telah berjaya membawa PAS memenangi negeri Terengganu dan Kelantan pada Pilihanraya tahun 1959.


Dewan Pemuda dalam dekad 1970an menjadi rakan kongsi strategik dalam pemuafakatan politik , dimana terlantiknya Ketua Dewan pemuda PAS Pusat saat itu, Dato Mustapha Ali sebagai Timbalan Menteri. ABIM dalam dekad itu sebagai rakan simbiosis yang akrab dengan Dewan Pemuda PAS, mencetak kader-kader dakwah.
Muktamar Dewan Pemuda PAS yang telah berlangsung di Madrasah Masriyyah Bukit Mertajam pada tahun 1982 telah meluluskan usul kepimpinan ulama. Usul penting inilah yang membentuk orientasi perjuangan PAS selama berdekad -dekad selepas itu. Pemuda PAS telah melangkah gagah dipelbagai sektor, mereka memulakan rangkaian jaringan pendidikan PAS . Bermula dengan pendidikan prasekolah PASTI, merambah kepada SRITI, memotori pendidikan menengah Islam dan juga peringkat kolej Universiti yang disempurnakan oleh Dewan Ulama.


Dewan Pemuda PAS terus menjaring dan merengkuh pelbagai sektor masyarakat untuk menyertai PAS. Antaranya dengan ARC, menjadikan kelompok anak-anak muda yang minat dalam bidang pemotoran terasa disantuni oleh harakatul ummah ini. Akademi Kepimpinan Pemuda terus mencetak kepimpinan yang kompeten dan berdaya saing, malah jentera tajnid Dewan pemuda terus mengilang kader-kader dakwah yang istiqomah memperjuangkan Islam.


Teruskan era pengukuhan jamaah ini serta usaha menarik seluruh sektor masyarakat untuk belayar dalam bahtera ini. Pemuda adalah benteng paling ampuh, dada mereka adalah perisai jamaah. Tulang belulang mereka adalah segenggam kekuatan untuk kayuhan bahtera ini menggapai kemenangan dan mardhotillah.mara menuju cita!
(Penulis ialah Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Pemuda Malaysia, mantan Ketua DPP Wilayah Persekutuan)






























