Melihat ramainya para huffaz yang gugur syahid di medan perjuangan, serta kebimbangan akan hilangnya lembaran suci ini, Abu Bakar memanggil Zaid bin Thabit dan mengamanahkan beliau dengan tugas yang teramat berat sehingga Zaid berkata, “kalaulah aku ditugaskan untuk memindahkan Bukit Uhud seorang diri, nescaya aku merasakan bahawa kerja itu lebih ringan dari tanggungjawab mengumpulkan dan menyalin semula al Quran.”
Begitu juga ketelitian yang dipamerkan oleh para penulis hadis nabi s.a.w seperti Imam Bukhari dan Imam Muslim. Pernah Imam Bukhari menempuh perjalanan sehingga beribu batu jauhnya semata-mata demi untuk mempastikan kesohehan dan kebenaran sesuatu hadis yang didengarnya. Tidak ada kompromi dalam persoalan kebenaran dan kepalsuan. Bayangkan dengan beribu hadis yang dikumpulkan dan ditulis oleh beliau, betapa hebatnya usaha yang telah dilakukannya sehingga kita yang terkemudian bisa menikmati khazanah ilmu yang tak ternilai ini.
Berbalik kepada fokus kita, setiap ketipan pada keyboard para penulis dan wartawan ketika mengolah dan menysusun suatu pemberitaan sepatutnya ada hintungan dosa dan pahala. Setiap perkataan dan baris yang dibaca oleh masyarakat hasil nukilan kita, ada tanggungjawab yang akan kita pikul di hadapan Allah walaupun hakikatnya di dunia ini kita mempunyai majikan yang membayar gaji dan elaun. Pastinya kita sebagai seorang Muslim, kita juga amat mengharapkan ‘elaun pahala’ daripada Allah atas setiap titik peluh yang menitis semasa mencari rezeki.
Memang kerja kita halal, tapi kalau wartawan sekadar berperanan sebagai penulis dan pelapor yang ‘diremote control’ demi agenda tertentu oleh sesuatu pihak dengan mengenepikan prinsip kewartawanan yang luhur sebagai penyampai dan penyebar kebenaran, maka tentunya kita layak menyalahkan diri sendiri jika profesion kita tidak dihormati serta menerima pelbagai label negatif.


Saya mengajak rakan-rakan media untuk sama-sama memperhalusi perkara penting ini dengan saya mengambil kira bahawa setiap kita tentunya memiliki kecenderungan fahaman politik yang berbeza. Perbezaan ini lumrah biasa dalam kehidupan dan ianya hak setiap individu. Cuma dalam persoalan asas akan kewajipan ditekankan prinsip ketelusan, kebenaran dan kebertanggungjawaban dalam setiap aspek pemberitaan, saya yakin kita akan sependapat tentang perlunya nilai-nilai ini terus menjadi teras profesion kewartawanan.
Saya juga meyakini, walaupun kelihatan agak sukar untuk mengubah tradisi pemberitaan yang telah menjadi amalan sekian lama tetapi semuanya boleh berlaku dengan perubahan sikap dan tindakan dari penulis dan wartawan sendiri sekalipun akhirnya editor akan menjadi pemutus dan penentu kandungan sesuatu berita. Letakkan diri kita di posisi penyambung tugas suci untuk menyebarkan kebenaran yang mungkin ada ketikanya pahit.
Dr Azman Ibrahim
Pengerusi
Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI)
Terengganu



























