

KEMAMAN – Kerajaan Terengganu khususnya Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said diminta menjelaskan mengapakah kadar sewa petak letak kereta bermusim Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dinaikkan.
Penolong Setiausaha PAS Negeri Terengganu, Haji Hanafiah Mat berkata, beliau menerima rungutan daripada para peniaga berkenaan perkara tersebut.
Menurutnya, para peniaga terbabit memberitahu, tindakan MPK bukan sahaja menambahkan beban mereka tetapi rakyat juga akan menerima ‘tempias’nya.
“Peniaga memberitahu saya, kerajaan tidak patut menaikkan sewa tersebut dalam keadaan ekonomi yang perlahan sekarang,
“apabila mereka (peniaga) terpaksa membayar lebih, mereka akan mengenakan caj tersebut kepada para pengguna iaitu rakyat,”ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Tindakan DUN Chukai berkata, kehidupan rakyat semakin terbeban dengan kenaikkan pelbagai harga barangan dan perkhidmatan.
Katanya, langkah MPK menaikkan sewa tersebut menunjukkan ‘seolah-olah’ kerajaan negeri menghadapi masalah kewangan.
Sedangkan katanya, pada Disember lalu, kerajaan telah meluluskan bajet yang besar bagi tahun 2011 sebanyak RM1,88 bilion.
“Apa perlunya menaikkan kadar sewa yang tidak seberapa jumlahnya? Bukankah kerajaan negeri telah lulus bajet RM1,88 bilion,
“kemanakah wang tersebut dibelanjakan? sehinggakan pihak Majlis Perbandaran seolah-olah tidak mampu untuk menanggung perbelanjaan?,”soal Hanafiah.
Hanafiah yang pernah menjadi Ahli Majlis MPK berkata, tindakan pihak berkuasa tempatan tersebut amat berbeza sewaktu pemerintahan PAS tahun 1999 hingga 2004.
Katanya, setiap keputusan mesyuarat Majlis dahulu dibuat secara berjati-hati dan sentiasa memberikan kemudahan kepada rakyat dan para peniaga.
“Setiap keputusan Majlis dulu dibincang dan dibahaskan, adakah ia akan memudahkan atau memberi masalah kepada rakyat,
“saya sendiri pernah menentang beberapa usul yang dirasakan akan membebankan para peniiaga dan rakyat,”jelasnya.
Oleh itu, beliau meminta seluruh warga Kemaman, khususnya bandar Chukai membuat penilaian supaya mebuat pilihan yang betul dalam pilihanraya umum ke-13 yang akan datang.



























