Oleh : NHI
MARANG – “Modul Arkitek Muslim dapat mencungkil bakat dan kreativiti para peserta. Siapa sangka dengan berbekalkan straw dan pelekat, mereka dapat menghasilkan pelbagai jenis binaan menarik dan kukuh,” ujar Pengarah Kem Junior Rhu Rendang Hebat (JURRUH 1.0), Mohd Sabri Ab Ghani.
Kem tersebut merupakan program anjuran bersama WAJA dan Ameerah Dun Rhu Rendang yang diadakan pada 17-19 Disember baru-baru ini di Maahad Darul Quran (MDQ), Rusila.


“Modul “Night Walk” dan Muhasabah bersama Daie Nasaruddin Samsudeng juga begitu memberi kesan kepada para peserta. Mereka menangis dan muhasabah segala kesilapan mereka, ketika orang lain sedang lena diulit mimpi,” ujar beliau lagi.
Kem JURRUH 1.0 itu berjaya menarik 102 orang penyertaan, di mana 52 orang peserta lelaki dan 50 peserta peserta perempuan berusia 13-18 tahun dari kesemua cawangan dari dun tersebut mendaftarkan diri.
“Alhamdulillah, projek sulung ini berjalan lancar. Ini merupakan satu permulaan baru bagi kita ke arah mentarbiyah anak-anak muda memahami cara hidup dan menyuburkan roh Islam dalam jiwa mereka”


Kem selama 3 hari 2 malam ini menyediakan pelbagai jenis modul dan kuliah, selain aktiviti ‘outdoor’ menarik sebagai pendedahan baru kepada adik-adik peserta. Yang penting, penganjur ingin membantu melahirkan para peserta mengenal potensi diri dan kepimpinan selain berada dalam organisasi.
“Kem ini tidak berakhir begitu saja. Kami sudah menyediakan beberapa perancangan akan datang sebagai susulan untuk memastikan ukhuwwah bersama mereka terus berkekalan. Mereka adalah pelapis kepimpinan di masa akan datang. Sudah menjadi kewajipan kami mendidik mereka dari sekarang “.


Di akhir ucapan, Sabri juga melahirkan penghargaan kepada para urusetia dan fasilitator yang bertungkus-lumus membuat yang terbaik untuk menjayakan JURRUH 1.0 ini. Beliau kagum dengan semangat berpasukan yang ditonjolkan oleh para urusetia dan fasilitator, serta saling tampung menampung kekurangan yang ada.
Beliau mengharapkan agar momentum semangat ini akan berterusan untuk gerakerja perjuangan akan datang dan istiqomah dengan kerja-kerja dakwah dan kebajikan hingga ke akhirnya.
Majlis penutup kem tersebut dirasmikan sendiri oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Dun Rhu Rendang, merangkap Ketua JPR Terengganu iaitu Ustaz Mohd Aswadi Mohamad. Turut hadir kepimpinan pemuda dun, Halwa DUN serta Ameerah Dun Rhu Rendang.




























