Saya ingin menarik perhatian seluruh rakyat Terengganu berkenaan isu yang disiarkan oleh akhbar Berita Harian semalam berkaitan dakwaan bahawa ketiga-tiga negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia Kelantan, Terengganu dan Pahang tidak mengeluarkan minyak.
Tidak pernah saya yang menjadi ahli dewan undangan negeri pada bila-bila masa mendapat peluang membahaskan isu ini walaupun berkali-kali PAS Terengganu mengusulkan bagi isu ini dibincangkan demi kepentingan rakyat. Tetapi sayang, semalam dengan kaedah “hit and run” iaitu pukul dan lari, mereka dengan sewenang-wenangnya mendakwa di luar dewan undangan negeri atau dewan rakyat dan negara bahawa Terengganu tidak mengeluarkan minyak sekaligus seperti ingin menafikan secara langsung, tanpa perbahasan di dewan, tanpa perbicaraan di mahkamah bahawa negeri-negeri ini tidak layak menerima royalti.
Apalah ertinya jika kita yang tidak layak ini menandatangani perjanjian itu? Lakukah tandatangan kita apabila membuat perjanjian sedangkan kita tidak layak? Apakah maknanya jika kita yang tidak layak ini, menerima bajet tahunan dan memasukkan royalti petroleum (dahulu) atau dana khas (sekarang) dalam bajet kerajaan negeri yang menjangkau sehingga 2.5 billion pada tahun ini selepas diambil kira bajet tambahan? Apakah sah bajet-bajet terdahulu semenjak tahun 70-an itu?
Maka saya di sini sebagai mewakili Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu dan juga rakyat Terengganu secara keseluruhannya mendesak kerajaan Umno dibawah pimpinannya yang baru agar menyatakan pendirian mereka terhadap laporan ini. Jika kerajaan menyokong sila keluarkan kenyataan rasmi dan begitu juga sebaliknya. Kita tidak mahu maruah rakyat dan negeri ini diperkotak-katikkan oleh golongan-golongan yang berkepentingan. Ini adalah hak rakyat Terengganu. Berhentilah menjadi pak turut, ikutlah jejak langkah kerajaan Sarawak yang sebulat suara telah meluluskan usul bagi meminta royalti bagi negeri mereka sebanyak 20%. Sebaliknya Terengganu yang mendapat lima peratus suatu ketika dahulu, ditukar kepada wang ehsan dan sekarang ini mahu dibuang dari senarai negeri pengeluar minyak. Adakah kerajaan Terengganu sebacul itu untuk membiarkan perkara ini berlaku?
YB Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan BPPNT
ADUN Bukit Payong
1 Zulhijja 1435 bersamaan 26 September 2014