Minit Mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Bocor: PN Tuntut Penjelasan Kerajaan.

573

Perikatan Nasional (PN) ingin merujuk kepada laporan Malaysiakini bertarikh 12 Julai 2025 bertajuk “Dokumen didakwa minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bocor”.

Atas dasar perkara berkaitan pelantikan hakim-hakim terutamanya hakim-hakim di mahkamah atasan merupakan suatu perkara berkepentingan awam, maka PN menuntut agar Perdana Menteri mengesahkan perkara ini dengan segera.

Hal ini teramat penting kerana sebarang kelewatan dan pendirian yang tidak jelas pihak Kerajaan mengenainya pasti akan mengundang defisit kepercayaan (trust deficit) awam yang semakin mendalam dan kritikal terhadap institusi kehakiman negara.

Seterusnya, sekiranya dokumen yang tersebar itu benar, PN secara khusus menuntut penjelasan Kerajaan dalam perkara-perkara berikut:

(i) dalam Minit Mesyuarat JAC bertarikh 16 Mei 2025 yang teredar mendedahkan berlaku persamaan bilangan undi yang dibuang (rujuk para 4.1.1.5(a) dokumen yang teredar), adakah undi penentu Pengerusi JAC seperti mana peruntukan yang terdapat dalam Seksyen 13(6), Akta JAC digunakan.

Seksyen 13(6) adalah seperti berikut:

13. Mesyuarat

(6) Tiap-tiap anggota Suruhanjaya yang hadir berhak mendapat satu undi melalui undi sulit dan jika terdapat persamaan bilangan undi yang dibuang, Pengerusi atau anggota Suruhanjaya yang mempengerusikan mesyuarat itu sebagai pengerusi hendaklah mempunyai undi pemutus.}

(ii) jika proses undi sulit berkait dengan pencalonan jawatan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya berkeputusan persamaan undi di kalangan ahli- ahli JAC iaitu 4 – 4 (seperti ditunjukkan dalam minit yang disebarkan), apakah pula keputusan mesyuarat JAC berikutnya mengenai perkara ini, di mana Seksyen 13(1), Akta JAC 2009) memperuntukkan mesyuarat JAC perlu diadakan sekurang-kurangnya sekali sebulan.

Seksyen 13(1) adalah seperti berikut:

Mesyuarat

13. (1) Suruhanjaya hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali sebulan pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat yang ditentukan oleh Pengerusi.

(iii) Adakah Perdana Menteri telah menerima cadangan daripada JAC berhubung dengan pemilihan hakim-hakim mahkamah atasan hasil daripada Mesyuarat JAC pada 16 Mei 2025 dan/atau mesyuarat (mesyuarat-mesyuarat) susulan selepas daripada tarikh tersebut, khususnya bagi pemilihan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya dan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak; dan
(iv) Bilakah kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan Malaysia akan diisi mengikut peruntukan dan prosedur yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan.

Justeru PN menuntut Perdana Menteri memberikan penjelasan yang tuntas bagi perkaraperkara di atas dalam tempoh yang segera memandangkan isu ini adalah isu tertentu yang mempunyai kepentingan awam yang tinggi serta amat perlu disegerakan.

TAKIYUDDIN HASSAN
Ketua Whip Ahli Parlimen PN
Bertarikh: 13 Julai 2025