KUALA TERENGGANU – Minggu Al-Quds digerakkan sebagai usaha berterusan bagi memastikan isu Palestin terus hidup dalam kesedaran umat Islam dan tidak dipinggirkan.
Pengarah Program, Ustaz Hamdi Harun, berkata, isu Al-Quds dan Gaza bukan isu bermusim yang hanya diangkat ketika mendapat perhatian dunia, sebaliknya perlu difahami sebagai amanah akidah dan lambang keteguhan iman umat Islam.
“Minggu Al-Quds membawa tiga matlamat utama iaitu kesedaran supaya masyarakat tahu apa yang sedang berlaku, kefahaman agar tidak dikelirukan propaganda, dan tindakan supaya solidariti tidak terhenti pada simpati semata-mata,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Minggu Al-Quds Sedunia 2026, di Dewan Tok Guru, Rusila, semalam.


Hamdi menjelaskan, antara tindakan yang digalakkan ialah berdoa, menyampaikan penerangan, menghulurkan sumbangan dan meneruskan usaha boikot secara istiqamah, walaupun dilihat kecil namun besar nilainya di sisi Allah.
Dalam masa sama, beliau menegaskan peranan penting anak muda sebagai penggerak utama solidariti Palestin, dengan penyertaan aktif mereka dalam pelbagai program termasuk konvoi yang diadakan petang tadi.
“Anak muda bukan sekadar penonton, tetapi jentera penerangan. Penglibatan mereka membuktikan solidariti ini digerakkan dengan kesedaran dan komitmen,” katanya.
Tambah beliau, walaupun rakyat Terengganu berada jauh dari bumi Palestin, namun hati tetap dekat bersama saudara seagama yang dizalimi, dengan pendirian jelas menolak penjajahan dan menentang segala bentuk kezaliman.


“Minggu Al-Quds adalah medan penyatuan ummah. Walaupun berbeza latar belakang dan peranan, kita berdiri atas prinsip yang sama bahawa keadilan mesti ditegakkan dan kezaliman mesti dihentikan,” ujarnya.
Beliau turut menyeru agar sokongan terhadap Palestin dijadikan budaya istiqamah, termasuk melalui pendidikan awal supaya anak-anak PASTI turut memahami dan mewarisi semangat solidariti tersebut.
“Semoga Allah menguatkan hati, menyatukan langkah dan menerima setiap usaha kecil sebagai amalan yang bernilai di sisi-Nya,” tambah beliau lagi.





























