‘Mikroplastik’ Ancaman Kepada Keselamatan Makanan

2860

Kebergantungan negara kepada bahan yang berasaskan plastik secara berleluasa telah mengundang masalah apabila kehadiran mikroplastik dalam persekitaran akuatik di lautan. Mikroplastik merupakan partikel-partikel kecil daripada plastik yang memberi kesan kepada hidupan laut sekali gus pemakanan manusia seharian.

2. Dianggarkan sebanyak sembilan bilion tan plastik digunakan oleh rakyat Malaysia pada setiap tahun dan sebahagian besarnya berakhir di lautan. Kebimbangan kita suatu masa dahulu berhubung ancaman plastik kepada hidupan marin seperti penyu, terumbu karang, ikan dan sebagainya kini bertukar menjadi ancaman baharu kepada keselamatan makanan kita sendiri.

3. Kajian Greenpeace mendapati bahawa lebih daripada 90 peratus garam di laut yang digunakan di dapur seluruh dunia mengandungi mikroplastik. Manakala sekurang-kurangnya 170 spesies marin, termasuk kupang, udang kara dan ikan kurau dari perairan sebelah selatan China didapati mengandungi mikroplastik.

4. Hidupan marin yang tercemar dengan mikroplastik lalu dimakan oleh manusia boleh menjejaskan kesihatan manusia iaitu menganggu sistem saraf dan sistem percernaan dan akhirnya boleh membawa kepada kematian. Persoalannya, sejauh manakah teknologi yang dibina pada hari ini bagi menjamin keselamatan bekalan makanan manusia seandainya makanan laut tercemar dengan mikroplastik?*

5. Segala usaha ke arah penyelesaian mapan perlu disokong oleh semua pihak. Oleh itu, bagi menyelesaikan masalah ini perlu bermula daripada kesedaran masyarakat negara kita sendiri selain usaha Kerajaan yang telah melancarkan “single-use plastic” (SUP) dengan tindakan permulaan menghentikan penggunaan botol minuman pakai buang, straw dan makanan.

6. Saya mencadangkan Kerajaan untuk memperluaskan penggunaan plastik hidro-biodegradasi serta memperkenalkan teknologi yang mengurangkan bilangan plastik mahupun mikroplastik yang berada di laut. Kerajaan boleh memperkenalkan lapisan penapis pada setiap langkah rawatan dan penapisan di loji rawatan air yang boleh membuang 99 peratus mikroplastik.

7. Selain itu, produk inovasi seperti ‘Guppyfriend’ iaitu sebuah beg basuhan dan ‘Cora Ball’ yang menangkap serpihan sintetik yang keluar dari pakaian manusia setiap kali ia dibasuh sememangnya membantu bukan saja mengurangkan mikroplastik tetapi juga usaha menambahbaik kualiti makanan dan air minuman kita.

8. Kesedaran sivik harus dipupuk ke atas setiap individu selain peranan kerajaan, pihak industri dan pihak berkuasa bagi mengawal pencemaran plastik di negara ini. Pencemaran plastik boleh dikawal sekiranya semua pihak memainkan peranan mereka masing-masing demi kemampanan alam sekitar. Usaha ini perlu digalas oleh semua pihak selaku khalifah di atas muka bumi yang ditugaskan untuk memakmurkan bumi selari dengan firman-Nya yang bermaksud: _“Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi dan menghendaki kamu memakmurkannya”_ (Surah Hud, Ayat 61).

“Islam Memimpin”

TUAN CHE ALIAS BIN HAMID
Ahli Parlimen Kemaman