Menteri Besar Tidak Perlu Perjudikan Nasib Rakyat

1328

Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Terengganu (DPPKKT) melihat janji yang diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang juga selaku Menteri Besar Terengganu, Encik Ahmad Razif Abd Rahman berhubung hak pemilikan Program Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran hanyalah janji manis pilihanraya semata-mata.

Rumah pangsa sebanyak 1002 unit itu telah mula didiami secara berperingkat bermula pertengahan tahun 2015 dengan mengguna pakai status sewa bulanan tanpa hak pemilikan. PPR tersebut berada di bawah hak milik kerajaan negeri melalui seliaan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Kami mempersoalkan kenapa pihak kerajaan negeri tidak mengubah sahaja dari sewa bulanan kepada status milikan secara ‘sewa beli’ buat rakyat yang berkelayakan dari awal sebagai tanda keprihatinan sebagai sebuah kerajaan negeri yang bertanggungjawab untuk rakyat.

azrin1 (2)Persoalannya, jika benar kerajaan sekarang ingin membantu serta meringankan bebanan rakyat, mengapa perlu disyaratkan menang kesemua empat kerusi dun dalam Parlimen Kuala Terengganu pada PRU14 akan datang dan melayakkan PPR tersebut ditukarkan kepada status sewa beli? Layanan jenis apakah yang dipamerkan oleh Menteri Besar Terengganu ini?

Adakah ini cara terdesak Pengerusi Umno Terengganu mahu membeli undi rakyat demi mengekalkan sebuah kekuasaan? Nasib rakyat bukan lagi dibela, malah diperjudikan!

Lupakan sahaja janji kosong ini. Marilah bersama legasi Parti Islam SeMalaysia (PAS) demi membina Terengganu yang sejahtera dan berkebajikan.

M. AZRIN BIN M. ARIS
Ketua
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Terengganu (DPPKKT)