Menjunjung Kasih Titah Agong; Fokus Tangani Covid-19

160

KUALA TEREMGGANU – Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyokong penuh kenyataan Timbalan Presiden PAS, YB Ustaz Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkenaan titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk terus menangani dan memerangi covid-19 serta pemulihan ekonomi negara.

Ketuanya, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, sebanyak tujuh ketetapan hasil mesyuarat khas Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong bersama Raja-Raja Melayu membuktikan Raja-raja Pemerintah
cakna kesejahteraan negara dan rakyat.

“pertimbangan dan keutamaan yang wajar sebagaimana yang ditegaskan iaitu nyawa dan kepentingan rakyat wajib diutamakan mengatasi perkara-perkara lain.

“Dengan tujuh ketetapan tersebut, adalah jelas, perkara pokok yang perlu diberikan keutamaan oleh semua pihak,” ujarnya.

Dalam satu kenyataan semalam, Ustaz Nik Zawawi memberi amaran agar tiada pihak mempolemikkan dan mempolitik titah baginda.

“Jangan mengeruhkan suasana perpaduan kalangan rakyat ialah usaha sama dari semua peringkat bagi memastikan,

“angka kes positif COVID-19 dapat dilandaikan dengan segera serta usaha-usaha menjayakan program vaksinisasi mencapai matlamat imuniti kelompok 80% dengan secepat mungkin,” tegasnya.

Beliau berkata, DUPP juga melihat pengumuman YAB Perdana Menteri dalam pembentangan Pelan Pemulihan Negara berkenaan Sidang Parlimen adalah selari dengan titah Baginda Tuanku mengambil kira proses-proses dan prosedur-prosedur yang perlu dipatuhi mengikut lunas-lunas perlembagaan Malaysia.

“Seperti notis sidang parlimen 28 hari sebelum tarikh persidangan, keterlibatan pelbagai kementerian dan agensi untuk penyediaan dokumen

“melibatkan keperluan pegawai-pegawai hadir bekerja di pejabat selain dari keperluan penyediaan data-data dan maklumat-maklumat yang memerlukan masa yang secukupnya oleh pihak yang berkaitan,” jelas beliau.

Justeru itu, DUPP menyeru kepada semua pimpinan parti politik untuk bersikap matang dalam memastikan proses semak dan imbang menerusi sidang Parlimen yang bakal dibuka nanti,

“Parlimen sebagai medan percambahan idea, perbahasan yang terfokus serta usaha sama di antara pihak kerajaan dan pembangkang dalam saling berkongsi pandangan

“Serta tidak menjadikan Parlimen sebagai tempat mencetuskan polemik yang tidak berkesudahan demi kepentingan sebahagian pihak sahaja dengan membelakangi 7 ketetapan dari sidang Majlis Raja-raja Melayu,” tambahnya.