Menjadi Pemimpin Gerakan Islam Dengan Erti Menggalas Beban Amanah

1729

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Pasca muktamar PAS kali ke-63 menyaksikan keseronokan dan kerisauan ahli berbicara tentang kepimpinan PAS, pelbagai ulasan telah dibuat dan dibicarakan secara terbuka tentang kepimpinan, termasuk AJK lantikan. Begitu juga dengan kepimpinan diperingkat Perhubungan PAS negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan, semuanya diartikulasi, dibedah serta diberi markah oleh ahli-ahli jamaah mahupun pencandu politik.

Di zaman siber dengan maklumat di hujung jari ini seperti menyembunyikan anak gajah dalam tudung saji mengkuang, segalanya terdedah dengan hanya beberapa hitungan detik. Dalam PAS, jauh berbeda budaya memilih pemimpin dengan parti-parti politik konvensional yang lain, ingin menonjolkan diri sebagai pemimpin maka sebelum langkah sembah akan terguling disepak ahli dan perwakilan. Ahli-ahli benci dengan budaya melobi dan berkempen serta dilihat bernafsu untuk memegang kuasa. Menjadi pemimpin jamaah Islam ini bermakna menggalang amanah yang cukup berat. Amanah kepimpinan yang akan dipertanggungjawabkan dihadapan sang Pencipta, maka pimpinan PAS disemua peringkat wajib bercermin dan menilai diri.

Menurut Mustafa Masyhur dalam bukunya ‘Jalan Dakwah Antara Qiyadah dan Jundiyyah’, Kepimpinan dalam jama’ah Islam, natijahnya besar dan amanahnya berat oleh kerana beberapa sebab yang akan kita sebut setengahnya darinya. Menjadi kemestian kepada setiap individu dan pemimpin untuk sama-sama merasakan natijah yang besar serta amanahnya yang berat itu untuk menghasilkan kerjasama dalam memikul bebanan tersebut secara bersama.

Natijah yang besar disebabkan luasnya bidang kerja berserta berbagai cabangnya, kerana Islam adalah agama yang menyeluruh serta sempurna. Islam menyusun semua urusan hidup bagi individu, masyarakat dan negara serta dituntut supaya kita melaksanakannya dalam seluruh bidang hidup kita

Tanggungjawab pemimpin besar dan berat disebabkan beratnya matlamat dan tujuan yang kita berusaha ke arahnya. Allah adalah sebagai matlamat, agama Allah di muka bumi adalah tujuan (dengan mendirikan kerajaan Islam yang sejagat yang diketuai oleh Khalifah). Amanah kepimpinan berat kerana luasnya medan kerja yang terus bertambah sehingga hampir merangkumi seluruh keluasan dunia.

Tanggungjawab pemimpin besar kerana besarnya jumlah bilangan orang yang termasuk ke dalam tanggungjawabnya. Apatah lagi dengan kemasukan mereka yang terus bertambah dalam berbagai peringkat. Begitu juga dengan mereka yang telah sampai kepadanya dakwah dan berhajat kepada penyediaan, serta merta yang tidak sampai kepadanya dakwah hendaklah dilaksanakan supaya dakwah mesti disampaikan kepada mereka.

Amanah kepimpinan berat kerana tanggungjawab pemimpin mengarahkan setiap anggota jama’ah dan memudahkan punca-punca kerja dan hasilnya dalam bidang dakwah untuk mereka. Pemimpin bertanggungjawab mengenai cara pengambilan faedah yang baik dari semua keupayaan tersebut untuk amal Islami.

Amanah kepimpinan berat kerana besarnya natijah yang akan menyusul hasil pencapaian tujuan yang diusahakan oleh jama’ah. Kebaikan yang akan dicapai oleh kerana penetapan agama Allah tersangatlah besar di mana (dengan izin Allah) jangkauan ufuknya akan merangkumi sejagat dan jangkauan masnya akan meliputi genarasi manusia yang akan datang.

Amanah kepimpinan dalam jama’ah begitu berat dan besar oleh kerana banyaknya permasalahan dunia Islam yang mendesak dan saling berkaitan serta setiap permasalahan memerlukan kepada usaha dan jihad, memerlukan sumbangan dan pengorbanan. Tidak mungkin boleh diabaikan mana-mana masalah. Apa sahaja bantuan yang boleh mestilah diberikan iaitu dalam suasana keupayaan kita yang terbatas – kerana kita masih lagi menyeru ke arah kewujudan sebuah negara Islam – dan dalam keadaan harakah terdedah kepada tekanan, pemulauan serta tipu daya.

Amanah kepimpinan dalam jama’ah kita berat kerana orang Islam di medan sedang memerhatikan jama’ah kita sebagai tempat diletakkan cita-cita yang diharapkan untuk menyelamatkan mereka terhadap apa yang dialami dari suasana yang amat buruk, serta apa yang dialami, seperti pencabulan dan pembunuhan. Menjadi kewajipan ke atas jama’ah Islam dalam menyumbangkan segala daya usaha untuk menjadikannya berada di tahap kepercayaan yang diserahkan kepadanya dan dapat menghasilkan cita-cita yang diharapkan itu.

Amanah kepimpinan berat dan besar kerana panjangnya jalan dakwah di samping banyak halangan, banyak tempat kegelinciran serta liku-liku. Keadaan ini menuntut kebijaksanaan pemimpi untuk mengawal barisan dan menyebarkan semangat kesabaran serta membentuk jiwa yang tahan, pemimpin harus mampu membangkit semangat dan keazaman pengikut untuk melepasi halangan-halangan dan mengawal diri dari bahaya-bahaya yang menghalangi, serta juga perkara yang diperlukan untuk tujuan ini, seperti tarbiyyah, penyedaran yang berterusan, kesejahteraan barisan, dan istiqamah dalam fikiran.

Berdasarkan huraian yang dipetik daripada maestro gerakan Ikhwanul Muslimin ini maka semua peringkat pimpinan wajar untuk membetulkan jurus serta tapak langkah sembah. Ini penting agar gerakan Islam ini terpelihara daripada fitnah, berdaya saing untuk melangkah dimedan operasi. PAS dengan nuansa politik dakwah,memerlukan pimpinan yang mendekatkan diri dengan Allah, menyintai masjid, tidak membina jarak dengan pengikut serta mengerah seluruh kudrat untuk perjuangan. Ahli-ahli jamaah diorientasikan oleh kepimpinan, maka kepimpinan yang bertaqwa akan melahirkan denai perjuangan yang menepati manhaj Rabbani. Jom kita bercermin!

(Penulis ialah AJK Lujnah Tarbiah dan Perkaderan PAS Pusat)