Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman menegaskan, sebelum ini pihaknya menerima aduan bahawa penuntut yang mengikuti pengajian sepenuh masa di luar negara tidak menerima kertas undi.
Menurutnya, mereka juga tidak menerima sebarang makluman daripada pejabat kedutaan di luar negara supaya mereka yang layak mengundi menunaikan tanggungjawab tersebut.
“Selama ini, penuntut yang mengikuti pengajian sepenuh masa terutama di Mesir pun tidak dapat mengundi. Proses pengundian pos tidak cukup kerana mengambil masa selama tiga hari dan apabila tinggal jauh, tiada pula mekanisme yang membolehkan mereka mengundi kecuali pulang ke Malaysia.
“Jadi, kita minta penuntut sepenuh masa atau separuh masa itu diberi hak yang sebenar-benarnya untuk mengundi,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini, semalam.
Ariffin turut berharap supaya SPR memastikan kertas undi asal yang ditanda oleh pemilih ‘tiba dengan selamat’ bagi mengelak sebarang penyelewengan kerana percaya tidak mustahil manipulasi terhadap undi boleh berlaku.
Katanya, mekanisme yang benar-benar teliti perlu diwujudkan untuk memastikan proses pengundian lebih berkesan. “Kita harap supaya ada proses yang boleh sahkan bahawa kertas undi asal itu benar-benar sampai dan bukannya kertas undi lain,” katanya.
SPR menjangkakan rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara dan penuntut yang mengikuti pengajian separuh masa di luar negara boleh menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, perkara itu kini dalam peringkat kajian termasuk mendapatkan pandangan Penasihat Undang-Undang SPR sama ada langkah sedemikian membabitkan pindaan undang-undang.
Dalam pilihan raya sebelum ini, mereka yang berada di luar negara dan layak mengundi terdiri daripada anggota polis dan tentera, kakitangan kerajaan bersama pasangan masing-masing dan juga penuntut berserta isteri yang mengikuti pengajian mereka secara sepenuh masa.