Menghadapi Suara Rakyat, Pemaju i-SHARP Panggil Ahmad Said

801

Yang pertama, tindakan pemaju yang terpaksa memohon ehsan kerajaan negeri untuk mewar-warkan  kepada umum tentang ‘kejayaan projek mereka’ setelah berhadapan dengan suara rakyat yang diterajui i-BANTAH. MB yang datang melawat dan diberikan taklimatkan dengan teori-teori pemaju yang memang telah sedia dimaklumi, akhirnya membuat sidang media dengan jangkaan kejayaan itu dan ini sedangkan semuanya adalah jangkaan.

Yang kedua, apakah kejayaan projek i-SHARP yang dimaksudkan oleh Menteri Besar? Berapa tan udang yang telah berjaya dieksport dan berapa tenaga anak tempatan yang telah diambil bekerja? Ungkapan  yang digunakan MB “Seperti yang dimaklumkan oleh pihak pengurusan, setiap kolam mampu memberikan hasil sebanyak enam tan” mengambarkan bagaimana ceteknya kemampuan menilai yang dimiliki Dato’ Ahmad Said dengan menerima bulat-bulat penjelasan pemaju tanpa penelitian selanjutnya. Lebih baik suruh pemaju saja buat sidang media! Kalau perlu panggil i-BANTAH duduk semeja untuk kita berhadapan dengan media.

Yang ketiga, ke mana perginya isu rampasan tanah pertanian rakyat di RTB Kubang Labi, antara isu utama yang diperjuangkan i-BANTAH. Memang betul tanah paya Nyatoh tak sesuai untuk pertanian dan kita pun tak suruh Ahmad Said tanam sawit di situ, tetapi persoalannya tanah pertanian penduduk di Kampung Banggol telah dikorek dan dipunggah untuk kerja-kerja menambun kawasan kolam udang. Natijahnya kemusnahan hasil titik peluh rakyat dan rakyat kehilangan sumber pendapatan dari hasil pertanian. Kesan banjir akibat kerja-kerja projek juga telah merencatkan pengeluaran hasil kebun penduduk. Semua ini kesan nyata yang disaksikan dan didengar sendiri delegasi i-BANTAH berbanding dengan kejayaan-kejayaan projek yang beristilah ‘jangkaan’.

Yang keempat, persoalan banjir. Dalam pertemuan di lapangan dengan pegawai Blue Archipelago kira-kira sebulan lepas, mereka menafikan bahawa banjir berpunca dari projek mereka, walaupun pelbagai agensi media melaporkan sedemikian. Setelah dua kali penduduk sekitar berhadapan dengan fenomena banjir di luar kebiasaan pada musim tengkujuh lalu  dan pelbagai desakan yang dilakukan i-BANTAH, mengikut kenyataan Ahmad Said sebagaimana dilaporkan akhbar harian ini, pemaju telah membuat kajian semula tentang perkara ini. Persoalannya, dulu perkara ini telah dikaji atau tidak? Kalau telah dikaji, kajian yang terdahulu, bagaimana? Berdasarkan kenyataan ini juga, bukankah ini bermakna bahawa pemaju dan MB telah mengesahkan bahawa memang benar projek udang punca banjir!  Kalau bukan kerana desakan dan fakta-fakta kukuh, mungkin mereka akan terus menafikan.

Menteri Besar tolong jangan menuduh pihak pembangkang memberikan pandangan yang tidak betul untuk mengelirukan rakyat. Tuduhan mengelirukan fakta itu perlu dibuktikan. Kalau perlu, i-BANTAH sedia untuk mengadakan pertemuan dengan pihak MB atas dasar kepentingan rakyat yang bukan bermotif politik supaya perkara ini mampu dijelaskan. Saya tetap meyakini bahawa Ahmad Said hanya mendengar penjelasan sebelah pihak yang tidak memungkinkannya membuat penilaian yang adil. Saya tidak suka menggunakan istilah ‘mencabar’ selagi ruang perbincangan masih ada.

Dari awal lagi kami telah menyatakan, kami tidak sekali-kali menentang apa-apa projek pembangunan untuk kesejahteraan rakyat tetapi tidak bermakna sama sekali kalau projek dinaikkan bersama dengan turunnya air mata rakyat.

Dr Azman Ibrahim
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak i-BANTAH
Ketua Lujnah Alam Sekitar dan Pengguna, Terengganu