Mengapa Shabery Tak Guna Agensi Pertanian?

1472

KUALA TERENGGANU – Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek diberi ingatan agar mendapat panduan, pemantauan dan penyelenggaraan dari pakar dalam bidang pertanian dalam melaksanakan projek-projek dibidang tersebut.

Mantan Timbalan Pengarah Pertanian negeri Terengganu Haji Mohd Said (gambar kanan) berkata, puluhan juta ringgit yang dilaburkan sebelum ini khususnya di negeri ini tidak mendatangkan sebarang hasil.

Katanya tindakan mengambil pihak luar menjadi perunding dibimbangi akan mengulangi kesilapan sebelum ini.

Mohd Said“saya hairan…..kita ada MARDI (Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia), kita ada FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan),kenapa kita tak guna mereka untuk kajian dan penghasilan benih pemasaran,

“dulu (kita dah ada pengalaman) kita tubuh TADC (Terengganu Agrotech Development Corp. Sdn. Bhd.) yang buat kerja sendiri tanpa libatkan agensi pertanian dan gagal,”tegasnya.

Menurutnya, kerajaan melalui syarikat terbabit pernah mengupah sektor swasta untuk bekalkan benih, baja dan lain-lain input pertanian untuk tanaman jagung.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas projek perintis penanaman jagung bijirin untuk makanan ternakan, melibatkan kerjasama antara Jabatan Pertanian dengan syarikat Green World Genetics Sdn Bhd (GWG)

Syarikat tersebut dilaporkan melatih petani di Kampung Dadong, Kemaman, untuk menanam jagung bijirin di kawasan sawah milik mereka dan keuntungan bersih akan dibahagi antara petani dan syarikat.

Mengulas lanjut, Haji Mohd berkata, Laporan Ketua Audit Negara 2013 menyatakan projek Ladang Jagung Di Kampung Kuala Ping, Hulu Terengganu melibatkan peruntukan sejumlah RM1.57 juta gagal kerana potensi pengeluaran tidak mencapai sasaran.

ladang kambing
Tinggal kenangan…….Datuk Seri Ahmad Said menyusukan kambing, propaganda ketika memulakan projek yang sehigga kini masih gagal

“Semakan Audit tanaman jagung ini berjaya dilakukan hanya 3 musim saja……….kerja penanaman pada pusingan pertama dimulakan pada bulan Julai 2009 melibatkan kawasan seluas 20 ekar dan 2 musim pada tahun 2010 iaitu musim pertama seluas 45 ekar dan musim kedua seluas 40 ekar.

“Hasil pengeluaran jagung yang diperoleh pada 3 musim yang telah diusahakan didapati tidak menepati sasaran yang ditetapkan,”jelas beliau.

Tambahnya, selain jagung, kerajaan Terengganu gagal dalam projek kambing di Tersat Hulu Terengganu, ubi gadung di Bukit Wan Batu Rakit, padi di Jelapang Setiu.

“kerajaan pernah isytihar akan menjadi pembekal kambing terbesar di negara ini menjelang 2015 dan dan melaksanakan ternakan kambing di seluruh negeri,

“sekarang dah 2016……di kebanyakan tempat yang buat ternakan kambig, hanya tinggal kandang saja,”ujar beliau.