Oleh: Khalid Abdullah
KEMAMAN: Ahli Parlimen Kemaman yang mengetuai Kementerian Pertanian perlu serius terhadap isu-isu pertanian dan penternakan di kawasan beliau untuk tidak dilihat sebagai gagal atau ‘koman’.
Pengerusi Lajnah Asas Tani & Alam Sekitar (LATAS) PAS Pusat, Muhammad Sanusi Mohd Nor berkata demikian ketika membuat lawatan kerja pada Jumaat lalu.
“LATAS berkunjung ke sini untuk meninjau kawasan padang ragut yang pernah diwartakan di zaman PAS memerintah Terengganu sebanyak 100 ekar, kini hanya berbaki lima ekar sahaja yang boleh diusahakan penternak.
“Lima ekar itu tidak mencukupi untuk 30 orang peserta, setiap seorang perlu diberikan sekurang-kurangnya satu ekar kawasan padang ragut untuk mencukupkan bekalan rumput makanan ternakan mereka”, kata beliau.
Muhammad Sanusi juga memberitahu, penternak di sini juga berdepan dengan risiko kematian ternakan akibat dilanggar kenderaan kerana bolos melepasi pagar Lebuhraya Pantai Timur (LPT2).
“Pagar di LPT2 ini mudah roboh akibat pemasangan serta pembinaan tidak mengikut spesifikasi, kelihatan sana-sini tiangnya telah tercabut.
“Tidak mungkin penternak sengaja mengambil risiko memotong pagar untuk melepaskan ternakan untuk dilanggar di LPT2.
“LATAS menyeru semua pihak, khususnya Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang menyelia LPT2 untuk mengambil tindakan segera membaiki pagar yang telah roboh”, tambah beliau.
Muhammad Sanusi yang juga AJK PAS Pusat turut dibawa melawat oleh YDP PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Alias Hamid melawat projek tanaman jagung berkelompok Jabatan Pertanian Terengganu yang disifatkan beliau ‘mahal rantai dari beruk’.
“Telaga tiub berharga hampir RM200 ribu dibina, namun peserta hanya diberi suku ekar, berapa pokok boleh ditanam?, soal beliau.











