Membantah kunjungan Obama aka membantah Perlaksanaan TPPA

888

1. Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan pendirian menolak sebarang usaha memuktamad dan melaksanakan Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) anjuran Amerika Syarikat.

2. TPPA jika dilaksanakan akan mengehad kuasa legislatif kerajaan, membuka ruang seluas-luasnya kepada kuasa korporat asing mengambil tindakan undang-undang menentang polisi awam yang bertentangan dengan kepentingan mereka serta meliberalisasikan sektor perusahaan kritikal pada skala besar yang boleh memudaratkan industri tempatan. Dalam erti kata lain, TPPA meningkatkan risiko ancaman kepada kedaulatan negara.

3. Ramai melihat kunjungan Presiden AS Barack Obama pada bulan Oktober ini akan mempercepatkan proses rundingan. Walaupun sumber dari MITI memberitahu bahawa TPPA tidak akan ditandatangani ketika lawatan Obama itu, kerajaan pastinya akan menggunakan ruang acara sampingan untuk merungkai isu-isu tertangguh yang hanya boleh dimuktamadkan oleh ketua kerajaan tertinggi.

4. TPPA merupakan kerangka utama bagi merealisasikan rencana Obama ke arah kewujudan “Pasifik AS”. Ianya merupakan strategi licik menggunakan instrumen perdagangan bagi mengekang kebangkitan drastik China. Oleh itu persetujuan segera YAB Datuk Seri Najib akan menjadikan beliau hero di mata pentadbiran Rumah Putih di Washington DC dalam masa yang sama mengkhianati amanah rakyat di halaman sendiri.

5. TPPA bukan sahaja ditentang oleh kumpulan masyarakat madani yang prihatin, malah ianya turut ditolak oleh segolongan usahawan yang selama ini menunjangi kekayaan UMNO. Ianya mendedahkan satu usaha licik kumpulan tertentu di belakang Najib yang menggunakan agenda TPPA bagi menyisihkan saki-baki penyokong kepimpinan UMNO yang terdahulu dengan merungkai penguasaan ekonomi mereka dan memindahkan penguasaan tersebut kepada kumpulan berkepentingan baru.

6. Hanya mereka yang berada di dalam linkungan perundingan yang benar-benar tahu kerangka kekayaan baru ini dalam apa yang disebut sebagai “akses istimewa” ke pasaran AS yang bernilai USD 15 trillion! Sekiranya TPPA benar-benar menjanjikan peluang ekonomi baru, perencanaannya sepatutnya diangkat menjadi wacana nasional dan didebatkan secara terbuka bagi menjana kekuatan ekonomi yang lebih berdaya-maju.

7. Namun demikian dialognya dihadkan bagi membolehkan pihak tertentu memonopoli potensi baru yang dijangka wujud dari TPPA. Inilah hakikatnya mengapa perinciannya dirahsiakan. Amat menyedihkan kerana masyarakat awam termasuklah rakan-rakan parti komponen BN dari MCA dan MIC menjadi mangsa percaturan politik elitis UMNO.

8. Rakyat harus menggunakan peluang dari kunjungan Obama ke Malaysia bulan depan untuk menunjukkan respon sewajarnya kepada kedua-dua pemerintah; UMNO-BN dan pentadbiran Rumah Putih bahawa TPPA tidak diterima di Malaysia.

Nasrudin Hassan
Ketua Pemuda PAS Malaysia
merangkap Ahli Parlimen Temerloh