Namun begitu, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong YB Ustaz Mohd Nor Hamzah, permohonan maaf siswa terbabit tidak akan mengubah keputusan mahkamah bahawa BERSIH tidak salah, tidak ganas dan tidak haram.
“Saya tidak merasa pelik, apabila membaca dan mendengar daripada media tentang seorang pelajar meminta maaf daripada Menteri Besar Terengganu setelah beliau menjadi mangsa kezaliman UMNO dalam penamatan pinjaman Yayasan Terengganu di Mesir.
“Sikap mulia pelajar BERSIH ini untuk meminta maaf, walaupun dia tidak melakukan apa-apa jenayah kepada kerajaan UMNO sewajarnya dicontohi oleh Menteri Besar dan kerajaan UMNO yang memang melakukan kesalahan kepada jutaan penyokong BERSIH,”ujarnya.
Beliau berkata penamatan pinjaman pembelajaran mahasiswa itu berpunca daripada sikap kebencian UMNO terhadap himpunan BERSIH.
Katanya, sikap kerajaan UMNO yang terus menganggap himpunan BERSIH adalah ganas, salah, haram dan berniat kononnya untuk menggulingkan kerajaan adalah satu penghinaan kepada mahkamah.
Menurutnya, yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT), pihaknya dengan sokongan pemuda PAS kawasan-kawasan telah menjalankan pelbagai usaha untuk membantu 9 mahasiswa yang ditamatkan pinjamannya itu.
“Kami telah melancarkan Tabung Bantuan 9 Pelajar tersebut untuk mengumpulkan sumbangan daripada ahli-ahli PAS untuk meringankan beban yang dipikul oleh 9 pelajar tersebut dan keluarga mereka.
Beliau berkata, pihaknya tidak menyampaikan sumbangan tersebut secara terus kepada mahasiswa terbabit kerana bimbang Umno akan memanupulasi keadaan sekiranya mahasiwa itu ada hubungan secara langsung dengan PAS.
“Kami bimbang tentang masa depan siswa terbabit, mahasiswa berkenaan akan terdedah dengan tekanan yang lebih berat samada dalam tempoh pengajian atau peluang pekerjaan selepas tamat pengajian kerana UMNO memang bersifat jahat dan menyimpan dendam kesumat,”tegasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, PAS bukan sahaja mendesak kerajaan UMNO supaya mengembalikan semula pinjaman mahasiswa terbabit malah sentiasa menyarankan agar mereka membuat rayuan kepada pihak kerajaan.
Namun sebaliknya, kata beliau, kerajaan terus mempolitikkan isu ini untuk membutakan minda dan mengugut pelajar.
“Umno terus mempolitikkan isu ini, agar mahasiswa terus terkongkong dan tidak merdeka dalam berfikir dan bebas dalam bersuara,
“Cukuplah kerajaan UMNO yang sering menyusahkan dan mendiskriminasikan hak-hak mahasiswa,”tambahnya.




























