MB Janji Lagi, Yang Lama Belum Selesai

4236
http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita5/roboh%20rumah%20kuala%20besutjpg.jpg
Rumah rakyat marhaen di Rancangan tanah Berkelompok Kuala Besut, dirobohkan kerajaan

Masih ingatkah lagi rakyat Terengganu dengan janji pemberian kira-kira 5900 lot tanah di Terengganu oleh YAB Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Menteri Besar Terengganu tahun lalu? Mungkin ketika itu beliau menganggarkan PRU akan berlaku pada akhir tahun 2017, lalu dijanjikan borang pada bulan Ogos.

Sehingga kini, masih belum terlihat pengagihan tanah-tanah itu walaupun sudah menjangkau lapan bulan dari tarikh borang dikatakan diedarkan.

Kini Umno kembali membawa karung bungkusan hadiah untuk dibahagi-bahagikan kepada rakyat, sempena PRU yang bakal menjelang. Mereka menjanjikan rumah harga murah separuh dari harga kos! Namun malang, bukan agihan betul, tetapi hanya agihan janji-janji dari Umno.

Berkenaan rumah kos rendah atau sederhana mahupun PR1MA ini, di DUN Bukit Payong sendiri telah dijanjikan lama dahulu semenjak mantan MB terdahulu, Dato’ Seri Ahmad Said. Namun sehingga kini tiang bagi rumah pertama projek itu belum kelihatan.

Sebagai rakyat yang cerdik, kita mesti bertanya, kenapa ketika berkuasa semenjak puluhan tahun, isu berkenaan bantuan rumah ini masih belum selesai ataupun paling tidak, dikurangkan sehingga seminima mungkin?

Semenjak dilantik April 2014, setelah berlakunya perbalahan dalaman Umno yang meyaksikan Dato’ Ahmad Said disingkirkan dengan cara hina, YAB MB berkuasa selama empat tahun, dengan pembentangan bajet puratanya RM2 billion setahun, tetapi baru sekarang bercakap tentang pengurangan kos bagi rumah rakyat?

Kos pembinaan rumah PR1MA dikatakan bernilai RM140 ribu, tetapi dijual dengan harga RM68 ribu sahaja iaitu kurang RM72 ribu dari harga kos, bukan harga jual. Jumlah keseluruhan yang dijanjikan untuk dibina ialah 300 buah setiap dun iaitu RM691.2 juta jumlah yang perlu kerajaan tanggung, iaitu kira-kira 30% daripada keseluruhan bajet 2018. Adakah Umno boleh lakukan, apatah lagi bajet semenjak dua tahun lalu telah dikurangkan sehingga 30%?

Opps…… ia tidak terhenti pada angka itu sahaja. Ada lagi. Rumah Mampu Milik pula akan diberikan diskaun sebanyak 50% iaitu harga kos RM40 ribu, tetapi akan dijual kepada rakyat sebanyak RM20 ribu sahaja. Dengan nama yang dipolitikkan MyBN Home. Untuk makluman, semua jumlah ini, tidak dibentangkan di dalam Bajet 2018.

Setahu saya, Sidang Dun bagi membahaskan Perbekalan Tambahan masih belum dipanggil kerajaan. Bagaimana MB boleh ‘meluluskan’ sebegitu banyak jumlah belanja luar bajet yang telah dibentangkan? Dari mana beliau mendapat wang itu?

Jika benar Umno Terengganu mahu membantu rakyat Terengganu membina rumah sendiri, kenapa setelah mereka merampas Terengganu dengan cara jijik pada tahun 2004 dahulu, mereka rampas kembali tanah yang telah diberikan oleh PAS sebelum itu kepada rakyat susah?

Kenapa mereka merobohkan bukan sahaja rumah-rumah rakyat yang dibina atas tanah kurniaan kerajaan PAS dengan menggunakan duit titik peluh mereka sendiri? Kembalikan semula tanah rampasan secara zalim itu, sebelum bercakap janji baharu.

Puluhan tahun rakyat Terengganu menjuarai tempat kedua termiskin di Malaysia walaupun laut Terengganu dilimpahi minyak dan gas. Inilah dia sandiwara PRU lakonan Umno. Tidak pernah puas membohongi rakyat dengan janji-janji palsu.

PAS secara realistiknya menjanjikan akan membantu rakyat dengan memberikan pinjaman tanpa riba sebanyak RM50 juta setahun kepada mereka yang layak untuk membina rumah kediaman sendiri.

Manakala bagi agihan tanah, PAS mampu memberikan kepada rakyat pada kos yang sangat minima iaitu hampir percuma dan telah dibuktikan pada sepanjang tahun 1999-2004 iaitu kira-kira 60 ribu lot tanah telah diagihkan kerana kos pengurusannya agak rendah dan rakyat sememangnya memerlukan tanah bukan sahaja rumah, malah juga pertanian. Janji ini sangat munasabah.

Tetapi menjanjikan rumah dengan diskaun 50% daripada harga ‘KOS’ bukan harga jualan oleh kerajaan kepada mungkin ratusan ribu rakyat, PAS yakin, itu adalah janji gula-gula PRU sahaja. Tidak akan mereka tunaikan. Adakah munasabah, sekiranya 9600 buah rumah dibina iaitu 300 buah di 32 Dun setiap tahun, ia akan membelanjakan RM691.2 juta bagi diskaun sahaja? Tanah yang dijanji diagih 5900 lot itu belum tertunai sedangkan kosnya jauh lebih murah, inikan pula rumah?

Mungkin dizaman Tok Kaduk, Umno boleh cuba untuk menipu, tetapi bukan dizaman bermaklumat seperti sekarang. Cari dan kaji semula rekod janji-janji Umno sebelum PRU, anda akan dapati sanggahan PAS ini benar. Wallahua’lam.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah

Ketua Penerangan PAS Terengganu
18 Rejab 1439/5 April 2018