Oleh : Khalid Abdullah
KEMAMAN – Masalah bau busuk yang dihadapi oleh penduduk sekitar Kertih dan Paka berpunca dari aktiviti sebuah syarikat pengeluar makanan haiwan bakal berakhir.
Perkembangan positif tercapai hasil perbincangan syarikat terbabit, CJ Bio Malaysia Sdn Shd (CJ Bio) bersama Kerajaan Negeri Terengganu, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Jabatan Kesihatan serta wakil penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili yang turut serta dalam perjumpaan tersebut berkata pihak CJ Bio telah berjanji untuk mengatasi masalah tersebut secepat mungkin.
“Perbincangan berlangsung dalam suasana sangat mesra dan muhibah, komitmen untuk selesaikan masalah telah diberikan oleh pihak syarikat CJ Bio dalam perjumpaan ini,” katanya ketika ditemui di kilang CJ Bio di Kertih di sini, pada pagi Isnin semalam.
“Kita di Dun Kemasik, banyak menerima ‘complain’ penduduk terutamanya dari Kampung Batu Putih dan Pengkalan Ranggon,” jelas Ir Saiful Azmi.
Beliau juga menyaran Pihak CJ Bio untuk mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang telah ditetapkan oleh pihak JAS.
“Tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama penduduk setempat bagi mengeratkan hubungan serta mengatasi masalah berbangkit perlu diteruskan.
“Kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak dalam perjumpaan ini diharap dapat membantu menyelesaikan masalah yang berlanjutan sejak tiga tahun lepas,” tambah Ir Saiful Azmi.