Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Terengganu, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, sepuluh perkara tersebut akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Rakyat dapat menguasai Putrajaya selain mengembalikan Wisma Darul Iman ke pangkuan PAS.
Sepuluh manifesto yang dilancarkan sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat – PAS Ganti Umno di Kampung Banggol Pradong Sabtu malam, 16 Februari, menjadikan sejumlah dua puluh perkara utama dalam manifesto PAS Terengganu.
“Sebelum ini ini kita telah lancar 10 perkara manifesto PAS sewaktu sambutan 100 tahun perlaksanaan udang-undang Itqan al-Muluk bi ta’dil as-Suluk di Kuala Berang, sekarang kita tambah 10 perkara lagi yang kita akan laksana, sekiranya PAS dan Pakatan Rakyat dapat memerintah negeri dan negara Malaysia,”ujarnya ketika membentangkan menifesto tersebut.
Sepuluh perkara itu adalah seperti senarai dibawah;
1) Caj Wad Kelas 3 hospital akan di tanggung oleh kerajaan negeri.
2) Insentif perkahwinan RM1,000 untuk pengantin lelaki dan RM1,000 untuk pengantin perempuan bagi perkahwinan pertama.
3) Tabung pinjaman perumahan untuk rakyat secara qardhul-hasan sebanyak RM100 juta setahun, dan pinjaman perumahan kakitangan kerajaan negeri Terengganu tanpa riba.
4) Tabung pinjaman usahawan tanpa riba RM100 juta setahun.
5) Insentif untuk ujian memandu RM300.
6) Insentif ibu bersalin sebanyak RM100 setiap kelahiran dan caruman RM1,000 untuk anak.
7) Insentif RM600 setahun kepada warga emas yang berusia 60 tahun keatas selain pesara kerajaan.
8) Mewujudkan pusat pemulihan dadah dan latihan kerjaya secara islam.
9 ) Memansuhkan semua bayaran balik pinjaman pendidikan Yayasan Terengganu dan menggantikannya dengan biasiswa.
10) Mewujudkan bandar lestari baru di setiap daerah.
Menurutnya, kesemua dua puluh perkara yang ditawarkan itu telah dibincangkan dengan semua lapisan masyarakat Terengganu. [Gambar – Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi melancarkan 10 perkara tambahan manifesto PAS di PGU7.0 Banggol Pradong]
“kita (PAS) bincang dengan semua lapisan dah, bahkan melalui (telah ambil kira) pandangan orang ramai melalui laman sosial FB pun, kita ada 20 lebih ‘item’ (perkara) keseluruhan manifesto yang mencakupi semua bidang
“(tetapi) Kita buat cabutan dua puluh perkara (utama) untuk rakyat (mudah) ingat sahaja……. (manifesto PAS Terengganu) bukan (hanya) 20 perkara itu sahaja,”jelasnya.
Menurutnya, PAS mengalu-alukan kepada semua pihak untuk terus memberikan cadangan bagi menambah pekara-perkara penting yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan baru nanti, yang dapat memberi kemudahan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.



























