Keluarga aktivis Turki yang terbunuh dalam serbuan Israel ke atas kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza pada 2010 menyatakan, mereka tidak akan menarik balik tindakan undang-undang mereka terhadap Israel, walaupun tedapat perjanjian antara Turki dan negara Yahudi itu.
Sembilan orang Turki telah meninggal dunia ketika tentera marin Israel menyerang kapal “Mavi Marmara”, sebahagian daripada ‘flotila’ bantuan untuk memecahkan sekatan tentera laut rejim di Semenanjung Gaza.
Hubungan antara Israel dan Turki putus selepas serbuan itu tetapi pada bulan Jun lalu mereka akhirnya bersetuju untuk menamatkan ‘ketegangan’ selepas rundingan panjang secara rahsia.
Israel telah memohon maaf diatas serbuan itu, dan memberikan kebenaran kepada Turki untuk menghantar bantuan ke Gaza melalui pelabuhan Israel.
Di bawah perjanjian Israel-Turki, kedua-dua pihak bersetuju bahawa individu rakyat Israel atau mereka yang bertindak bagi pihak kerajaan tidak akan bertanggungjawab atas kejadian tersebut.
Keluarga mangsa bagaimanapun berkata, mereka akan meneruskan tindakan undang-undang mereka sehingga pelaku didakwa dan dibawa ke muka pengadilan.
Ahli akademik dari wilayah Adana selatan, Cigdem Topcuoglu berkata, suaminya telah dibunuh ketka pasangan itu berada di atas bahtera tersebut.
“Kami sudah tentu tidak menerima pampasan,” katanya kepada AFP di Istanbul.
“Mereka datang dan membunuh suami anda (dan kemudian) datang kepada anda dan berkata ambil wang ini, tutup mulut anda dan menyerah pada kes itu. Adakah anda akan menerimanya?”soal beliau.
Secara keseluruhan, terdapat enam kapal dalam armada yang sedang berada di perairan antarabangsa kira-kira 130 km (80 batu) dari pantai ketika rejim Israel melakukan serangan.
Walaupun selepas perjanjian dengan Israel, mahkamah Istanbul pada 19 Oktober telah mengadakan satu perbicaraan keatas empat bekas komander tentera Israel, walaupun ia kemudiannya ditangguhkan hingga 2 Disember.