Jangan Jadi Duri Yang Melukakan Kaki Pejuang……

1059

Oleh : Dr Azman Ibrahim

PAS bukan hanya parti politik malah lebih dari itu, PAS adalah sebuah Harakah Islamiyyah. Teras utamanya dakwah, tarbiyah dan siyasah.

Sumbangan PAS kepada Islam dan ummatnya mustahil kalau ada lagi orang tak nampak. Saya senaraikan secara santai dan mudah apa yang nampak tengok depan mata.

1. Di Jabi saja ada 24 surau dan masjid milik PAS di 24 buah kampung. Sentiasa dimakmurkan dengan solat berjemaah dan majlis-majlis ilmu. Peranan masjid dan surau ini amat besar dalam pembangunan manusia dan masyarakat. Di Dun-Dun lain dan negeri lain ada banyak lagi. Jumlahnya di seluruh negara ada ribuan premis banyaknya. Betapa banyak jasa yang telah ditabur kepada masyarakat dengan kewujudan surau dan masjid ini.

2. Di Jabi saja ada 5 buah PASTI. Sebahagian kecil dari lebih 1000 buah PASTI yang ada di seluruh negara. Sejak kewujudannya lebih 30 tahun yang lalu, bayangkan berapa angka pelajar yang menjadi alumni PASTI. Saya tak ada angka tepat. Anak-anak dididik dengan asas agama dan tauhid. Tak pernah terbukti PAS terapkan ajaran sesat kepada anak-anak PASTI. Besar jasa PASTI kepada masyarakat dan pembangunannya.

3. Ada apa-apa bencana dan musibah yang menimpa rakyat, petugas PAS sentiasa di saf hadapan. Banjir, ribut, kebakaran, tanah runtuh dan orang lemas. Orang yang penglihatannya masih normal akan nampak petugas berbaju merah yang dipanggil Unit Amal. Tak kan kebaikan yang tulus ini pun nak dinafikan kerana bencikan PAS.

anak yatim baju raya1 (2)4. Keperitan rakyat marhaen, PAS sentiasa hadir bersama. PAS hadir bersama penoreh getah, nelayan, peneroka Felda, pekebun kecil dan golongan buruh serta pelbagai lagi kelompok rakyat tertindas. Bukan setakat bercakap dan menangani isu. Dengan penuh rasa kebersamaan kita turut berkongsi rezeki kurnian Allah. Masuk kampung menyantuni rakyat tanpa mengira fahaman politik. Kalau pun kita bencikan PAS, perlu diakui ini adalah suatu kebaikan.

5. Anak-anak yatim dan miskin sentiasa ada dalam agenda PAS. Suka duka mereka adalah sebahagian dari kehidupan kita. Uniform sekolah mereka, baju raya mereka kita sediakan sekadar yang termampu. Ini adalah kebaikan. Kita tak punya banyak wang tapi kita ada petugas dan kader yang tulus ikhlas bekerja. Besar ganjarannya sesiapa yang menyantuni anak-anak yang tak bernasib baik ini.

PAS sekarang ada lebih 1 juta ahli. Berjuta lagi penyokong dan mereka yang bersimpati dengan perjuangannya. Ada berjuta lagi anak-anak yang bakal mewarisi.

Kita boleh bermusuhan dengan orang PAS tapi mampukah kita bermusuhan dengan sebuah gerakan Islam yang bernama PAS. Melihat PAS dengan pandangan yang begitu negatif. Segala keburukan dikaitkan dengan PAS.

Islam bukan milik PAS. PAS adalah wadah yang memperjuangkan Islam. Tak nak bersama PAS tak apa. Tapi mari kita bersama-sama menegakkan Islam. Kalau Islam yang PAS bawa ini tak betul, silakan bawa Islam yang betul.

Kalau kita tak mampu tiang yang menyokong, maka jangan jadi duri yang melukakan kaki pejuang.

Jasa PAS dah berakar umbi dalam masyarakat. Kalau ibarat pokok durian, ini durian kampung yang Tok Ki kita tanam. Usianya dah lebih 60 tahun. Ramai anak cucu yang dah menikmatinya. Janganlah kerana kita jumpa musang king yang kita rasa lebih sedap, maka kita nak tebang durian pusaka Tok Ki. Kamu nak makan musang king silakan. Durian Tok Ki jangan tebang. Anak cucu sedia mempertahankannya.