LUHAM Mengalu-Alukan Penyertaan Dua Peguam Kanan Sebagai Ahli PAS

536

Lujnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat mengalu-alukan penyertaan dua Peguam Kanan – Haji Yusfarizal bin Yussoff dan Mohd Faizi bin Che Abu sebagai ahli PAS.

Majlis ringkas penyerahan Borang Keahlian PAS kepada Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang telah berlangsung di Masjid TokGuru, Rusila, malam tadi.

Turut hadir menyaksikan penyerahan Borang Keahlian PAS tersebut ialah Naib Presiden PAS, YAB Dato Seri Dr Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Setiausaha Agong PAS YB Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat merangkap Pengerusi LUHAM, Hj Wan Rohimi bin Wan Daud.

Haji Yusfarizal dan Mohd Faizi adalah dua Peguam Kanan yang tidak asing bagi LUHAM, kerana telah lama memberikan khidmat perundangan secara probono kepada PAS dan pimpinan PAS, antaranya melibatkan kes-kes berprofail tinggi yang telah dan sedang berlangsung seperti Kes Kristian Maklin Masiau -lwn- Abdul Hadi Awang (Mahkamah Persekutuan), YB Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man -lwn- YB Rafizi Ramli, YAB Mohd Sanusi bin Mohd Nor -lwn- Mahfuz Omar, YAB Anwar Ibrahim -lwn- YAB Mohd Sanusi Mohd Nor, YAB Anwar Ibrahim -lwn- Datuk Hj Amzad Hashim, dan kes YAB Anwar Ibrahim -lwn- Datuk Hj Awang Solahudin Hashim.

Pada masakini, bersama-sama dengan pasukan Peguam LUHAM Pusat, kedua-duanya sedang mengendalikan 6 Petisyen Pilihanraya yang difailkan BN/UMNO terhadap PAS/PN melibatkan kerusi Parlimen Marang-Kuala Terengganu-Kemaman-Gua Musang-Masjid Tanah-Putrajaya.

Hj Yusfarizal bin Yussoff telah beramal sebagai Peguambela & Peguamcara selama 20 tahun dan pada masakini adalah merupakan Managing Partner kepada firma guaman Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid. Beliau juga merupakan Ahli Majlis Peguam selama 4 penggal, jurulatih advokasi bertauliah Majlis Peguam, pensyarah sambilan di UIA dan USIM dan penulis buku “Civil Litigation in Malaysia: A Practical Guide to Drafting Pleading”. Beliau telah terlibat dalam banyak kes berprofil tinggi seperti SIS Forum Malaysia v MAIS (mewakili MAIS), mewakili peneroka Kemahang 3 dalam saman sivil ke atas FELDA dan juga mewakili Batu Kemas Sdn Bhd dalam saman kecuaian ke atas TNB yang mana Mahkamah mengaward gantirugi sebanyak RM35 juta.

Manakala Mohd Faizi bin Che Abu telah beramal sebagai Peguambela & Peguamcara selama 11 tahun dan merupakan Managing Partner firma guaman Tetuan Tengku Amalin & Faizi. Sebelum menjadi peguam, beliau pernah berkhidmat selama 9 tahun sebagai pegawai undang-undang Badan Kehakiman termasuk menjawat jawatan Majistret dan mantan Pegawai Khas kepada Presiden Mahkamah Rayuan Tun Md Raus Sharif (mantan Ketua Hakim Negara). Antara kes berprofil tinggi dikendalikan beliau adalah bertindak sebagai Koroner dalam kes kematian artis Sujatha (2008) dan Raqeem Rizqi melibatkan pengubahan wang haram di Mahkamah Persekutuan.

LUHAM sangat berbesar hati mengalu-alukan penyertaan keduanya sebagai Ahli PAS dan berharap akan dapat menyumbang dan memperkasakan lagi sayap perundangan PAS.

#Bersih dan Stabil
#PN Best
#PAS Pilihanku

Sekian.

Ahmad Lutfi bin Awang
Setiausaha,
LUHAM PAS Pusat