Telah diwar-warkan oleh kerajaan Negeri Terengganu untuk membina sebuah litar lumba yang diiktiraf antarabangsa bagi memenuhi kehendak orang muda di Terengganu. Dan seperti mana yang kita tahu, baru-baru ini, litar tersebut sudah siap dan telahpun berlangsung pertandingan yang dinamakan Terengganu Drag Battle 2017 (TDB2017) di sana yang dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.
Mengikut laporan pro-Umno Teganukita.net, MB berkata, berdasarkan pemantauan, kini hampir 95 peratus masalah rempit telah diselesaikan terutama di Jalan Durian Burung dan Jalan Sultan Mahmud. Hairan juga kita dengan beberapa hari sahaja litar siap, 95 peratus rempit telah dihapuskan? Sedangkan kita tahu bahawa, masalah rempit seperti di Jalan Durian Burung telah berjaya diatasi sejak lebih setahun lalu, hasil kerjasama orang kampung dan pihak berkuasa. Jasa orang kampung diketepikan Umno demi mendapat nama.


Dikatakan keadaan trek yang gelap, mengundang bahaya kepada pelumba dan juga penonton. Lampu di garisan penamat yang tidak sempurna, ditambah jarak trek yang pendek, menyebabkan ada kereta yang melepasi had pecutan sehingga terkeluar daripada trek. Permukaan litar yang tidak mencengkam, sempit serta beralun di tempat permulaan, turut menjadikan peserta kecewa. Penangguhan perlumbaan juga salah satu faktor yang merosakkan lagi imej penganjur kerana sistem timing yang tidak berfungsi baik.


Saya menyeru kepada kerajaan, agar janganlah memandang murah nyawa manusia. Perlu kepada satu tindakan bagi menyiasat aduan ini secara menyeluruh kerana ia tidak hanya mencalarkan imej negeri Terengganu, malah juga Malaysia. Perlu disertai pakar-pakar bagi menyumbangkan pandangan dan kemahiran bagi keselesaan dan keselamatan untuk memenuhi spesifikasi litar antarabangsa. Kita faham, Umno kini sangat terdesak untuk meraih undi bagi menyekat kemaraan PAS, tetapi janganlah nyawa rakyat pula yang dijadikan taruhan. Wallahua’lam
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Timbalan YDP PAS Marang
15 Syaaban 1438/ 12 Mei 201



























