Oleh : Wan Zawawi
KEMAMAN – Saban tahun apabila musim tengkujuh tiba, ketika Monsun Timur Laut melanda Pantai Timur, Khidmat Malaysia Kemaman dengan kerjasama Team RAPAT Rescue akan mengadakan latihan di lapangan, sebagai sebahagian dari Prosedur standard Operasinya (SOP).
Pengarah Khidmat Malaysia Kemaman Haji Nik Abd Rahim Nik Yahya berkata bahawa para sukarelawan banjir dilatih oleh jurulatih yang bertauliah demi mencapai standard penyelamat yang dikehendaki.
Sementara itu, Ketua Komunikasi Khidmat Malaysia Terengganu juga selaku Pengarah Program RAPAT Rescue, Saudara Zawawi Mohamad menjelaskan bahawa latihan lapangan memasukkan modul Radio Amatur seperti tahun 2013 kerana pentingnya Radio Amatur untuk berhubung semasa operasi sebenar.
“Buat kali pertama latihan pada tahun ini akan memasukkan pengendalian ‘navigational’ bot pada waktu malam dan isyarat- isyarat pengendalian,”kata beliau.
“Pada keesokannya, sebelum turun ke dalam air, akan diterangkan prosedur keselamatan di air & water confident, penggunaan peralatan pelampung, Keselamatan “Life jacket, Life Ring, Life Buoy, Buoy, Berenang dengan Lifejacket”, Terjun dengan “Lifejacket”, Kedudukan “Huddle”, Kedudukan “H.E.L.P”, Menyelamat Mangsa di Air ke Bot dan Menyelamat Bot Terbalik.”


“Disebelah petang pula akan diadakan latihan dalam air seperti menyelamat, memindahkan mangsa dari darat ke bot, menyelamat dan memindahkan mangsa dari bot ke bot, menyelamat dan memindahkan mangsa dari bot ke darat,”kata Pengarah program itu lagi.
Program yang memakan masa dua hari satu malam itu akan bermula pada jam 3.00 petang hari Jumaat, 18 November 2016 akan dirasmikan oleh Ketua Khidmat Malaysia Kemaman.
Manakala penutupnya pada jam 6.00 petang hari Sabtu 19 November 2016, akan sempurnakan oleh Pengarah Operasi Khidmat Malaysia Zon Timur, Haji Zulkifli Mat Yakim.