Larangan ‘Busking’ 10 Malam Terakhir Langkah Tepat

234

KUALA TERENGGANU — Larangan ‘Busking’ 10 malam terakhir Ramadan disifatkan sebagai langkah tepat dan amat prihatin dalam memelihara kemuliaan serta keagungan malam-malam kebesaran Islam, khususnya dalam usaha mencari Lailatul Qadar.

Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu Dr Wan Mat Sulaiman merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Kerajaan PAS atas keputusan tersebut.

Katanya, Islam telah menetapkan amalan tertentu untuk dilakukan pada waktu-waktu tertentu, dan bukan semua bentuk aktiviti sesuai dilaksanakan dalam tempoh sepuluh malam terakhir Ramadan yang sangat istimewa.

“Rasulullah SAW amat menggalakkan umat Islam menghidupkan sepuluh malam terakhir dengan ibadah seperti solat, bacaan al-Quran, zikir, sedekah dan beriktikaf, sebagaimana sabda Baginda: ‘Carilah dengan bersungguh-sungguh malam Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir’,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, keputusan kerajaan negeri itu bukan sahaja bertujuan memelihara suasana ibadah, malah mengajak para pengiat seni jalanan untuk sama-sama menghayati kelebihan malam-malam akhir Ramadan dengan melakukan amalan yang lebih sesuai dengan roh bulan mulia tersebut mencari mencari laba di malam- malam akhir ramadan.

Dr Wan Mat Sulaiman turut mengingatkan bahawa ramai umat Islam sanggup mengambil cuti atau meninggalkan urusan dunia pada sepuluh malam terakhir Ramadan semata-mata untuk mengejar keuntungan akhirat yang tidak terhitung nilainya, berbanding habuan dunia yang sementara.

“Begitu juga pengiat seni jalanan, percayalah janji kelebihan dan laba yang Allah janjikan di malam-malam akhir ramadhan dengan melupakan sekejap alunan muzik dan lantunan nyayian dengan memenuhinya dengan alunan bacaan Quran, solat, zikir dan sedekah,” ujar beliau.

Justeru itu, beliau menyeru seluruh umat Islam agar menjadikan Ramadan tahun ini lebih bermakna dengan melaksanakan ibadah secara bersungguh-sungguh, termasuk solat tarawih dengan sempurna, memperbanyak bacaan al-Quran dan bersedekah, serta mengelakkan kelalaian sepanjang bulan yang penuh keberkatan itu.

“Semoga Ramadan kali membawa keberkatan, keampunan, keceriaan, keamanan, kekuatan perpaduan dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat Terengganu dan umat Islam,” tambah beliau lagi.