PAS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Almarhum adik Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi yang telah meninggal dunia dipercayai akibat kecederaan serius dari hukuman disiplin melampau seorang pembantu warden di sekolah Almarhum.
2. Dilaporkan bahawa pembantu warden tersebut yang mempunyai rekod jenayah lampau, sedang ditahan reman.
3. Meskipun kes ini mengundang emosi namun sikap kita seharusnya mengelak untuk menghukum tanpa bicara. Apa yang wajar ialah doa buat Almarhum adik Thaqif dan agar keadilan segera terlaksana. 

4. Sudah tiba masanya juga suatu sistem saringan diwujudkan sebagai pusat rujukan sehenti para majikan memeriksa latarbelakang pekerja yang ingin diambil khususnya bagi organisasi yang terlibat dalam sektor kritikal seperti keselamatan, kesihatan dan pendidikan.
5. Kerajaan sudahpun mempunyai sistem eTapisan yang menyaring pengambilan pekerja dan kenaikan pangkat di dalam perkhidmatan awam. Sebagai cadangan, sistem eTapisan ini boleh diperluas kepada sektor swasta terpilih bagi meningkatkan kualiti saringan pengambilan pekerja sekaligus mengurangkan individu berisiko tinggi dari berkhidmat di dalam sektor kritikal seperti di sekolah-sekolah.
Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat



























