PAS memohon jasa baik kerajaan Negeri Terengganu agar menggunakan budi bicara mereka bagi menyemak semula kedudukan jumlah bayaran balik pengambilan tanah bagi Projek KT-Bypass. Rungutan berkaitan dengan jumlah pampasan yang diberikan, masih belum berpenghujung. Majoriti penduduk mendapat pampasan yang boleh dikatakan amat sedikit berbanding dengan kedudukan tanah, rumah ataupun kedai mereka yang dikategorikan di kawasan bandar.
Masalah utama bagi kebanyakkan penduduk ialah kegagalan mereka menukar status tanah mereka sebelum projek ini berjalan. Tidaklah dinafikan akan kadar yang berbeza disebabkan status tanah itu. Namun atas sikap keperihatinan, PAS merayu bagi pihak penduduk agar dipertimbangkan semula permohonan ataupun bantahan mereka.
Sebagaimana ucapan Wakil Rakyat Wakaf Mempelam, Haji Mohd Abdul Wahid Endut ketika Sidang DUN Pembentangan Bajet 2017 baru-baru ini, kerajaan melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), bagaimanapun tetap mengutip cukai walaupun dikatakan pengubahsuaian rumah-rumah kedai di kawasan terbabit melanggar peraturan. Oleh itu seharusnyalah kerajaan bertolak ansur kepada rakyat dengan jumlah pampasan ini.
Penduduk kampung tidak dapat mendiami tanah mereka itu lagi selepas ini. Jika pampasan yang diberikan terlalu sedikit, bagaimana mereka mahu mendapatkan sekurang-kurangnya tanah baharu dan rumah bagi kediaman mereka? Mereka terpaksa berpindah dalam keadaan tiada tapak bagi mendirikan rumah. Bukankah ini membebankan mereka?
Dengan musim persekolahan yang bakal bermula tidak lama lagi, juga atas bebanan peningkatan harga barang secara menyeluruh di Malaysia, PAS yakin dan percaya bahawa jumlah pampasan yang lebih tinggi dan bersuaian, akan meringankan sedikit bebanan penduduk ini.
Kerajaan Negeri yang boleh dikategorikan mewah ini mungkin boleh mengurangkan perbelanjaan serta kos mengurus tempat-tempat seperti Tasik Kenyir, Zoo Kemaman bagi melaksanakan tanggungjawab ini. PAS berpandangan bahawa kesemua perbelanjaan bagi tempat-tempat itu adalah tidaklah sebegitu penting berbanding dengan kepentingan penduduk.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
26 Rabiulawwal 1438 bersamaan dengan 26 Disember 2016











