Konflik Berpanjangan, Lebih 1,700 Terkorban di Afghanistan Sejak Tahun Baru

1088

Afghanistan menyaksikan permulaan berdarah tahun baru 2019 dengan lebih 1,700 korban yang berkaitan dengan perang, pada bulan Januari sahaja.

Angka-angka yang dikumpulkan oleh Agensi Anadolu mencadangkan lebih daripada 900 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 800 yang lain cedera di seluruh negara bergolak itu Afghanistan dalam serangan pengganas dan operasi keselamatan.

Korban termasuk militant, tentera Afghan dan asing serta orang awam.

Pada malam Tahun Baru, Taliban menyerang Daerah Sayaad di wilayah utara Sar-i-Pul, membunuh sekurang-kurangnya 20 pasukan keselamatan dan mencederakan 20 orang lain, kata Noor Mohammad Rehmani, Ketua Majlis Wilayah.

Ia berlaku di tengah-tengah perundingan diantara Amerika Syarikat dengan Taliban untuk menamatkan perang memasuki tahun ke-18 itu.

Utusan AS untuk perdamaian Afghanistan Zalmay Khalilzad bertemu wakil Taliban buat kali pertama di United Arab Emirates sebulan sebelum serangan terbabit.

Tentera Afghanistan baru-baru ini mengamalkan pendekatan yang lebih menyerang dengan pelantikan dua bekas anggota perisikan, Asadullah Khalid dan Amrullah Saleh, sebagai Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri.

Walaupun Saleh meletak jawatan berikutan pencalonannya sebagai naib presiden, Khalid terus memimpin serangan terhadap pemberontak di benteng kuat mereka, seperti wilayah Helmand di selatan Afghanistan.

Kejadian yang paling dahsyat bagi mangsa membabitkan orang awam dicatatkan di daerah Sangin Helmand yang dikuasai Taliban.

Sekurang-kurangnya 16 anggota dalam satu keluarga terbunuh ekoran serangan udara oleh tentera Amerika Syarikat pada 25 Januari di wilayah tersebut.

Dalam ucapannya di Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland dua minggu lalu, Presiden Ashraf Ghani berkata 45,000 pasukan keselamatan telah terbunuh sejak 2014.

Angka-angka kematian itu memberikan gambaran suram kepada pasukan keselamatan Afghanistan melibatkan pertelingkahan terutama di pedalaman.

Sehubungan itu, sekumpulan bekas pegawai Afghanistan sedia bertemu dengan para pemimpin Taliban di ibukota Rusia Moscow minggu ini.

Penganalisis Politik Dan Keselamatan, Ishaq Atmar berkata Moscow sedang melihat perkembangan sebagai suatu ‘pembukaan’ di Afghanistan.

“Jika Rusia mengamalkan peranan konfrontasi yang aktif dan agresif keatas Amerika Syarikat di Afghanistan, kita mungkin akan melihat perkara-perkara menjadi lebih tidak menentu dari awal lagi,” katanya.

Utusan AS dan Taliban telah mencapai persetujuan mengenai dua perkara; penarikan tentera asing dan menghentikan serangan pengganas dari tanah Afghan.

Walau bagaimanapun, kenyataan baru-baru ini oleh perunding utama Taliban, Sher Mohammad Abbas Stanekzai menimbulkan ketidakpastian sama ada perjanjian damai boleh dicapai.

Dalam wawancara video, Stanekzai berkata Taliban tidak mengiktiraf kerajaan dan menjangkakan tentera Afghanistan akan dibubarkan selepas perjanjian damai.

“Angkatan ini, tentera ini ini ditubuhkan oleh rakyat Amerika. Apabila Amerika meninggalkan negara, mereka secara semula jadi akan mati, “katanya.