BESUT – Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Jerteh terus bergerak menyantuni masyarakat Tionghua dalam program “Jelajah Orang Berbudi Kita Berbahasa” sempena sambutan Tahun Baru Cina tahun ini.
Menurut Pengarah MTD Jerteh, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad, hampir keseluruhan komuniti Tionghua yang tinggal sekitar Bandar Jerteh, termasuk premis perniagaan mereka telah dikunjungi.
“Fokus utama kita pada hari pertama ialah di kawasan bandar Jerteh khususnya di gedang perniagaan.
“Hari ke dua kita akan melawat ke rumah-rumah mereka untuk berkongsi kegembiraan dan mendengar apa jua masalah semasa yang mereka hadapi,”ujarnya


Katanya, ziarah telah mendapat sambutan yang amat baik, bahkan ramai daripada kalangan mereka memberi maklum balas agar PAS mengenengahkan beberapa isu bagi membantu mereka.
“antaranya, sebahagian besar komuniti peniaga ramai merungut tentang perniagaan yang agak kurang memberangsangkan, pelanggan semakin kurang dan jualan mereka agak terjejas.
“Mereka juga turut beranggapan bahawa ianya mungkin kesan daripada kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat,”jelas Wan Azhar.
Beliau yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Besut berkata, mereka turut merakamkan penghargaan di atas komitmen berterusan PAS menjalin hubungan dengan masyarakat Cina yang menjadi sebahagian daripada komuniti masyarakat setempat.
Turut sama dalam skuad ‘Jelajah’ ziarah Gong Xi Facai tersebut adalah Ustaz Hawari Abas bersama anggota HALWA dan Unit Amal DUN Jerteh.
Untuk rekod calon PAS DUN Jerteh dalam PRU13 baru-baru ini yang berjaya mengurangkan majoriti kemenangan BN sebanyak 2,116 undi ; di mana majoriti BN dalam PRU12 (2008) ialah 3,046 tetapi 2013 majoriti BN merosot teruk dengan hanya mendapat kelebihan 930 undi majoriti sahaja.





























