Kita serupa…………….

953

Oleh: Dr Azman Ibrahim

Salam dari Balingian, Bumi Kenyalang
Ada persamaan yang dipikul bersama antara 3 negeri, Sabah, Terengganu dan Sarawak. Persamaan pertama, 3 negeri ini adalah lubuk pengeluaran minyak dan gas Malaysia. Persamaan kedua, 3 negeri ini menduduki senarai 3 teratas memiliki jumlah penduduk miskin tegar paling ramai dalam negara.

Sabah adalah juara bertahan, Terengganu sebagai naib juara sementara Sarawak menduduki tempat ke 3. Persamaan ketiga, 3 negeri ini adalah negeri diperintah Barisan Nasional.

Aneh juga apabila memikirkan bagaimana mungkin negeri pengeluar emas hitam boleh jatuh miskin sedangkan emas hitam adalah nadi penggerak segala aspek ekonomi dunia.

Jangan juga dipandang sepi, 3 negeri di atas adalah negeri majoriti penduduknya adalah bumiputera samada Melayu, Melanau, Kadazan,
Dayak, Dusun, Bidayuh dan Iban.

Salah satu negeri di atas pula memiliki seorang pemimpin yang tercatat sebagai antara manusia yang paling banyak pitih di Malaysia serta paling lama menduduki kerusi kepala negeri selama 33 tahun.

Akhirnya beliau berundur meninggal Pekan Balingian sebagai antara pekan yang tak memiliki walau sebuah sekolah menengah. Aneh juga kalau kita memikirkan bagaimana boleh berlaku satu kawasan yang diwakili ketua menteri selama lebih 30 tahun masih tanpa institusi pendidikan menengah.

Lamanya tempoh seseorang pemimpin mentadbir negeri atau negara bukanlah dalil kepada kestabilan yang wujud dan menjadi indikator kepada pembangunan, kemakmuran dan kemajuan sesuatu negeri dan negara. Jepun antara yang paling kerap menyaksikan pertukaran kepimpinan tertinggi negara mereka. Mereka malah muncul sebagai antara paling maju di dunia yang ke 2 selepas Amerika.

Secara logiknya, apabila kerajaan kerap bertukar, itu menjadi penanda wujudnya suasana tak stabil dalam politik negara.

Ekoran daripada itu, pembangunan dan kemajuan akan terencat. Jepun telah membuktikan bahawa tohmahan ini menyimpang.

Meninjau secara umum dari dekat Pekan Mukah dan Pekan Balingian sejak dari ketibaan krew KAMI tengah hari semalam,
KAMI terdetik bahawa kedua-dua pekan ini tiada sebarang keistimewaan. Jauh berbeza berbanding gambaran awal yang
dibayangkan di dalam kotak minda. Maklumlah Sarawak negeri kaya dengan hasil minyak dan gas serta balak dan kelapa sawit.

Harga barangan dan makanan di sini secara bandingannya agak mahal. Makan malam dengan menu biasa sahaja untuk 6 orang dihulurkan bil mencecah hampir RM300. Jumlah yang bukan sekadar mahal tetapi mencekik darah.

Kalau dibentangkan fakta, Sarawak negeri ketiga dengan jumlah penduduk miskin tegar paling ramai dalam Malaysia, siapa yang berada di sini akan dapat mengesahkannya dengan mudah. Apakah teori sama di semenanjung terpakai di Bumi Kenyalang ini. Teori di mana rakyat merempat, di situ Umno kuat. Bukankah sarawak juga adalah simpanan tetap yang begitu setia membekalkan majoriti kerusi untuk BN terus kekal di Putrajaya.

Di semenanjung, Umno dengan lambang keris adalah pilihan masyarakat Melayu luar bandar yang hidup sebahagian mereka masih di bawah paras kemiskinan, nelayan pantai dengan kehidupan kais pagi makan pagi, kais petang bayar hutang. Di sini tiada Umno. Yang adanya PBB. Umno parti keris yang terus rakus merobek kehidupan rakyat. Sinonimnya di sini, PBB juga sebuah parti berlambang keris!

Keris dan dacing di semenanjung, keris dan dacing juga di Sarawak!Sarawak leih hebat. PBB bukan hanya berlambang keris malah ditambah lagi dengan tombak. Tak cukup tikam, rakyat kena ‘rodok’ pula.

Pemimpin-pemimpin parti berlambang keris di semenanjung memang diakui kaya raya hasil dari kedudukan politik mereka. Apa kurangnya keluarga dan kroni mantan Adun Balingian.

Saya berpendapat bahawa adalah tidak salah untuk rakyat Balingian memberikan isyarat kesedaran dan bantahan mereka dengan apa yang sedang berlaku ini melalui terjemahan pada kertas undi 29 Mac nanti.Isyarat dari Balingian akan memberikan impak besar untuk politik Sarawak khususnya dan Malaysia amnya.PRK ini bukan untuk menukar kerajaan. Pilihanraya negeri akan datang dijadualkan pada tahun 2016.

Bermakna, berikan peluang hanya 2 tahun sahaja kepada Pakatan Rakyat berkhidmat untuk Rakyat Balingian. Kalau PKR yang mewakili Pakatan Rakyat tak perform, tendang saja tahun 2016 nanti!

*Penulis adalah Pengerusi Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) Terengganu merangkap AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu