KUALA TERENGGANU – Sistem hibrid tenaga gabung empat kuasa yang dibina di Pulau Perhentian tidak menjadi apabila kincir angin yang indah tersergam, hanyalah untuk mengambil gambar sahaja!
Projek yang menelan kos sebanyak RM12.6 juta, yang dibangunkan pada era Datuk Seri Idris Jusoh menjadi Menteri Besar Terengganu itu kini tidak dapat menghasilkan tenaga elektrik dari kuasa angin.
Dalam nada yang teragak-agak dan tidak mahu menyatakan dengan jelas kedudukan projek itu masakini, Pengerusi (Exco) Jawatankuasa Kerja Raya Dan Pengangkutan Negeri Ir. Rosli Othman hanya dapat berkata ‘ianya dalam penyelenggaraan’.
“Sekarang ini di peringkat penyelenggaraan. Jadi kincir angin yang dipasang di Pulau Perhentian itu sedang diselenggara oleh pihak TNB.
“Dan buat masa sekarang ini, TNB dalam proses selenggara dan sekarang ini kincir angin itu berpusing, bila angin kuat,”ujarnya.
ADUN Kemasik itu berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan berkait dengan penggunaan Teknologi Hijau oleh kerajaan negeri Terengganu pada Sidang DUN Rabu, 10 Disember.
Pesuruhjaya PAS Ustaz Satiful Bahri Mamat yang juga ADUN Paka mengemukakan soalan tambahan tersebut dalam sidang yang bermula pada 8 Disember lalu dan tamat pada 11 Disember.


“Dari segi menjana elektrik itu, TNB sedang mengambil langkah untuk membaiki dan terus menyelenggara sistem yang ada sekarang,”tambah beliau.
Ustaz Saitiful Bahri bagi menjelaskan jawapan tersebut lalu berkata, projek tersebut kini hanya untuk mengambal gambar sahaja kerana ia gagal berfungsi sebagai penjana kuasa.
“Sekarang ni tak berfungsi lah. Dia berpusing saja lah. Dia sekarang ini dalam proses selenggara kan. Jadi dia melibatkan ‘sparepart’ (alat ganti) dan sebagainya,
“Jadi sekarang ini berpusing saja lah, untuk ambil gambar sajalah?,”katanya dan tidak di balas oleh Rosli.
Sistem hibrid janakuasa yang ‘dibanggakan itu’ sebagai yang pertama seumpamanya di Asia, dibina melalui pembiayaan bersama kerajaan negeri Terengganu, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi melalui dana Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Projek itu dirasmikan pada 6 September, 2007, dengan di hadiri sama Datuk Seri Idris Jusoh, Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata pembinaannya di atas tanah seluas dua hektar di sebelah utara Pulau Perhentian Kecil, merupakan satu pencapaian besar kepada TNB dan kerajaan negeri Terengganu.
“Sistem penjanaan elektrik yang dibina ini unik kerana menggabungkan tenaga angin, solar, bateri dan diesel yang mempunyai kapasiti solar 100kW, dua turbin angin yang boleh menjana kuasa 100KW setiap satu.
“Selain itu kita turut mempunyai dua buah janerator yang menjana 200KW, satu janerator menjana 150KW dan satu bateri yang boleh menyimpan tenaga elektrik sebanyak 480KW,” katanya.
Namun demikian, ia tidak terlaksana dan impian Idris Jusoh untuk melihat sistem ‘janakuasa Hibrid’ menjadi realiti, kini hanyalah sebagai ‘angan-angan’ sahaja.





























