Oleh : Khalid Abdullah
SETIU – Pengambilalihan aset-aset Felda oleh Felda Global Ventures (FGV) adalah permulaan sejarah hitam kepada Kilang Getah Felda Chalok Barat dan para pekerjanya.
Bekas pekerja Sahak Mohd Noor, 47 (Gambar bawah) berkata, pelbagai alasan diberikan untuk menyokong penutupan operasi kilang itu.
Namun begitu, beliau menyifatkan, ia hanya helah pihak FGV tanpa memikirkan nasib dan kebajikan pekerja mereka.
Beliau sangat terkesan ekoran penutupan operasi kilang itu, yang selama ini menjadi sumber pendapatan beliau sekeluarga.
“Sebagai anak jati Felda Chalok Barat dan berkerja hampir 30 tahun dengan kilang ini, kami seperti tidak betah untuk keluar berhijrah walaupun peluang pekerjaan amat terhad di sini,
“Tambahan pula apabila sudah berkeluarga dan anak pun sudah ramai sukar untuk kami berpindah ke tempat baru,
“Ada di antara rakan-rakan kami yang terpaksa kembali ke ladang (kelapa) sawit menjadi buruh atau terlibat sebagai pekerja kontrak pembinaan,”ujarnya, sedih.
Menurutnya, FGV yang digembar gemburkan sebagai ‘hebat’, ternyata sebaliknya, apabila tidak sampai tempoh tiga tahun pengambilahannnya, ia menghentikan terus operasi kilang tersebut.
Sehingga kini, kata beliau, hampir genap dua tahun diberhentikan dan nasib bekas pekerja Kilang Getah FGV Felda Chalok Barat itu masih tidak menentu.
“Ramai di antara mereka, masih tidak mempunyai pekerjaan yang stabil untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama anak isteri,
“Sedikit bayaran pampasan yang saya dapat semakin susut, sedangkan perbelanjaan seharian semakin bertambah, kami kena lebih berjimat dan bersedia mengerah tulang empat kerat mencari rezeki” tambah beliau lagi.
Katanya, inilah satu-satunya kilang getah milik Felda yang terdapat di Terengganu dan Kelantan.
“Bila kita bandingkan dengan kilang getah MARDEC di Kuala Berang yang masih kekal beroperasi sehngga kini, maka alasan-alasan yang telah diberikan oleh pihak FGV adalah tidak munasabah sama sekali,” jelasnya