Khatan Amal Nusantara: DO Yingo Narathiwat terharu

2317

NARATHIWAT SELATAN THAI: Pegawai Daerah Yingo Wilayah Narathiwat, Encik Yalaludin Oseman melahirkan rasa terharu dengan usaha Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia Cawangan Terengganu (PAPISMA) menganjurkan Khatan Amal Nusantara Selatan Thai di sini hari ini.

Serentak itu beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada PAPISMA atas penganjuran tersebut dan  beliau bagi pihak Kerajaan Thailand akan memberi kerjasama sebaik mungkin jika pertubuhan itu menganjurkan lagi aktiviti seumpama itu di wilayah tersebut.

Pengerusi PAPISMA Dr.  Mujahid Fauzi Sulong turut memberi taklimat program kepada Encik Yalaludin selepas lawatan beliau di bilik rawatan di perkarangan Masjid Darul Mukhlisin Banggol Gabus Yingo di sini.

(Gambar atas – Dr. Mujahid (dua dari kanan) memberi taklimat kepada Encik Yalaludin Oseman (dua dari kiri) berhubung perjalanan Khatan Amal Nusantara anjuran PAPISMA Terengganu.)

“Saya mengharapkan PAPISMA akan mengadakan aktiviti ulangan lagi di wilayah ini pada masa akan datang dan saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada PAPISMA, ” kata Encik Yalaludin.

Sementara itu Dr.  Mujahid berkata,  pada keseluruhannya,  Khatan Amal Nusantara Selatan Thai berjaya mendapat kerjasama dari semua pihak sama ada kerajaan Thai dan penduduk setempat.

Program itu selesai kira-kira jam 12.30 tengahari 7 Oktober dengan jumlah keseluruhan peserta seramai 48 orang kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 13 tahun termasuk seorang kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun, berjaya dikhitankan.

“PAPISMA akan menganjurkan aktiviti seumpama itu lagi di lain kali di mana-mana negara yang sesuai bila mempunyai dana mencukupi, dan mempunyai kerjasama yang baik dari pihak terbabit,” kata Dr. Mujahid, dipetik Aktivis Media KAMI yang bersama rombongan tersebut.