Khairat Kematian Mudahkan Ahli Keluarga Urus Jenazah

1637

Oleh: Aziz Jusoh

DUNGUN – Badan Khairat Kematian Kampung Sura yang ditubuhkan sejak lebih 10 tahun lalu membawa banyak manfaat, bukan hanya kepada ahli-ahlinya, tetapi turut memudahkan anggota keluarga menguruskan jenazah sekiranya berlaku kematian.

Sehingga kini walaupun seramai 446 orang ahli telah berdaftar, namun masih banyak permohonan baru yang masih belum diluluskan.

IMG_20151208_165951Pengerusi badan berkenaan, Ab. Razak Mohamad berkata, tujuan badan khairat kematian ditubuhkan adalah untuk membantu keluarga yang meninggal dunia menguruskan jenazah secara percuma termasuk memandikan, mengkafan, menyembahyang, menghantar menggunakan van untuk dikebumikan.

Pelbagai perkhidmatan dan kemudahan lain yang diberikan kepada para ahli termasuk menguruskan kenduri arwah dan majlis tahlil, atas permintaan pihak keluarga.

“Bukan sahaja segala perbelanjaan membeli peralatan kain kafan, keranda dan lain-lain ditanggung oleh Badan, tetapi khidmat membuat laporan kematian di balai polis dan Pejabat Pendaftaran Negara (JPN) turut diuruskan badan khairat kematian.

“Bermakna jika berlaku kematian, ahli keluarga tidak perlu mengeluarkan wang untuk segala urusan itu,”katanya ketika berucap pada mesyuarat agung dwi tahunan Badan Khairat Kematian Kampung Sura kali keenam di Dewan Kafa Masjid Lama, Kg Sura, di sini.

IMG_20151208_171348Beliau menambah, semangat berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan dikalangan ahli begitu tinggi.

Katanya, sebelum ini jumlah derma kematian ialah sebanyak RM 6.00 untuk tetapi mesyuarat bersetuju untuk meningkatkan derma kepada RM 8.00.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Ustaz Satiful Bahri Mamat yang menyempurnakan perasmian mesyuarat itu.

Mesyuarat berkenaan berjalan lancar dan seramai 15 orang ahli telah dipilih untuk menerajui Badan Khairat, mengambil tanggungjawab jawatan kepimpinan baru bagi sesi 2015 hingga 2017.

Manakala, mesyuarat sebulat suara untuk mengekalkan Ab. Razak sebagai pengerusi, kerana pengalaman beliau mengendalikan badan itu sebelum ini.