Persoalan ini menjadi pokok utama ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat di surau Tuan Guru Zainal Abidin, di bandar Dungun, di sini pada Khamis malam 18 Oktober.
“Bab jasa ni, macamana (sebagaimana) cerita nabi Musa dengan Fir’aun, nabi Musa ni dipelihara oleh Fir’aun sehingga besar, kemudian nabi Musa melakukan kesalahan membunuh orang,
“lepas itu nabi Musa lari berjumpa nabi Syu’aib di Madyan, duduk disitu selepas 10 tahun, ketika mahu pulang ke Mesir, nabi Musa dilantik menjadi nabi, dan diperintahkan untuk melawan ayah angkatnya Fir’aun,”kata Nik Abduh mencerita kisah tersebut sebagaimana yang termaktub dalam al-Qur’an.
Menurutnya, antara kezaliman Fir’aun yang paling besar adalah mengaku menjadi ‘tuhan’ dan memaksa semua rakyatnya menjadi hamba kepadanya dan menyembahnya.
“Fir’aun mengungkit jasa-jasanya kepada nabi Musa, (pada masa yang sama) Fir’aun menjadikan rakyat Mesir sebagai hamba abdi, sedangkan manusia tidak boleh menjadi hamba abdi kepada manusia,
“nak kerja kepada manusia sebagai pekerja boleh, manusia kena jadi hamba abdi kepda Allah,”jelas Nik Abduh.
Oleh sebab itu, katanya, walaupun jasa Firaun terhadap nabi Musa itu besar, namun kerana kezaliman yang dilakukan oleh Fir’aun, nabi Musa melawan Fira’aun walaupun Fir’auan adalah ayah angkatnya sendiri.
Membandingkan dengan keadaan politik masa kini, Nik Abduh menegaskan, PAS melawan Umno dan Barisan Nasional (BN) bukan kerana parti itu tidak ada jasa kepada rakyat Malaysia.
Namun katanya, tindakan zalim Umno dan Barisan Nasional (BN) lebih besar dari jasa-jasa yang dilakukan oleh parti itu sejak Malaysia mendapat kemerdekaan.
“begitu juga sekarang, kerajaan Umno (BN) bukan tak ada jasa, dia beri tanah kepada Felda kalau tuan-tuan seorang peneroka Felda, anak-anak yang belajar diberi biasiswa diberi bantuan oleh kerajaan, boleh jadi doktor boleh jadi profesor,
“kita (PAS) lawan Umno bukan kerana jasa, jasa yang (diberikan kita ucap) terima kasih, tetapi kita lawan kerana Umno zalim,”tegasnya.
Menurutnya, kezaliman Umno yang paling besar kepada orang-orang Melayu Islam adalah Umno berlaku zalim terhadap agama Islam.
“bermula sejak orang-orang Melayu zaman kesultanan Melaka menerima Islam sehingga Inggeris datang menjajah, hukum-hukum Islam berjalan, orang melayu tinggalkan agama Hindu memeluk Islam, semua pihak (termasuk) Raja, rakyat dan kerajaan menerima hukum-hukum Islam,
“apabila Inggeris menjajah, bermulanya pemisahan antara politik dan agama, raja-raja diserahkan urusan ibadat dan urusan keluarga, ada pun hal ekonomi dan undang-undang di kuasa Inggeris sehinggalah 1957,
“Umno berjuang untuk bangsa Melayu, Islam jadi nombor dua….buktinya apabila merdeka, Umno ambil undang-undang Inggeris dan tinggalkan alQuran (dan Sunnah),”kata Nik Abduh








