Oleh : MNA
MARANG – Kesungguhan ahli PAS Cawangan Tok Rimau bagi menjana ekonomi perlu dicontohi oleh rakyat negeri ini.
Ketuanya Haji Mansor Mamat berkata, ia adalah salah satu cara untuk menunjukkan kesungguhan ahli-ahli membantu parti bagi tujuan dakwah dan juga politik.
“Kita sebagai ahli, seboleh-bolehnya perlu membantu parti, terutama dalam ekonomi, kerana kita perlu faham yang PAS ini bukan parti yang kaya.


“dan alhamdulillah Tok Rimau sangat bertuah kerana memiliki ahli-ahli yang sangat komited dengan gerak kerja membantu parti,” ujarnya gembira.
Haji Mansor ditemui ketika gotong royong menuai buah tembikai bagi dihantar ke pusat-pusat jualan dan pemborong.
PAS Cawangan Tok Rimau, di dalam DUN Bukit Payong baru-baru ini telah berjaya menuai hasil buah tembikai yang mereka usahakan beberapa bulan lalu di Bukit Kor, Marang.


Malah ini bukanlah kali pertama usaha sebegini dilakukan oleh Cawangan Tok Rimau ini, kerana pada tahun lepas, mereka juga telah berjaya menjual ubi kayu, yang hasil keuntungannya hampir sama dengan hasil tembikai.
Hadir sama menuai hasil buah tembikai itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Ustaz Mohd Nor Hamzah yang turut memuji usaha dan kerja keras Cawangan Tok Rimau itu.





























